Sabat Net digesa kerjasama untuk Internet pantas
Kerajaan negeri Sabah berharap penyedia perkhidmatan jalur lebar negeri, Sabah Net Sdn Bhd, menjalin kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi memperoleh manfaat peruntukan Bajet 2014 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat lepas.
Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Negeri Datuk Hamisa Samat berkata syarikat itu harus merebut peluang pelaburan hampir RM1.8 bilion oleh kerajaan pusat bersama sektor swasta dalam melaksanakan fasa kedua capaian jalur lebar berkelajuan tinggi (HSSB).
"Sabah Net harus mengambil kesempatan daripada manfaat yang tersedia dalam bajet ini, khususnya dalam mempertingkat mutu perkhidmatan jalur lebar di luar bandar.
"Ketika ini, capaian jalur lebar di luar bandar seperti Kampung Tanpa Wayar dan perkhidmatan Internet di perpustakaan desa masih rendah," katanya kepada Bernama di sini.
Menurut Hamisa kemudahan Internet, sebagai alat untuk memperoleh ilmu pengetahuan, kini menjadi keperluan masyarakat, termasuk penduduk di luar bandar.
Oleh itu, beliau berharap penyedia perkhidmatan jalur lebar lebih proaktif dalam memperbaiki perkhidmatan masing-masing agar penduduk di luar bandar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan perdana.
Ketika membentangkan Bajet 2014, Najib yang juga Menteri Kewangan, mengumumkan pelaburan berkenaan bagi melaksanakan fasa kedua capaian HSSB bersama sektor swasta yang akan memberi manfaat kepada 2.4 juta isi rumah di seluruh negara.
Sabtu lepas, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pula berkata capaian jalur lebar lebih pantas iaitu antara empat dan 10 megabait sesaat (Mbps) akan dapat dinikmati penduduk luar bandar di negara ini menjelang 2016.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Datuk Jainab Ahmad Ayid menyambut baik usaha mempertingkat perkhidmatan jalur lebar di negeri ini, khususnya melibatkan perpustakaan desa.
Menurutnya perkhidmatan HSSB sangat diperlukan bagi melancarkan program pembangunan di luar bandar.
"Perpustakaan desa yang mempunyai kemudahan Internet merupakan satu-satunya kemudahan yang tersedia untuk kebanyakan penduduk di pedalaman," katanya.
- Bernama

