Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyifatkan keputusan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Lamin Mohd Yunus sebagai "janggal dan aneh" dan "terkeluar daripada pertimbangan undang-undang."

Mahkamah hari ini memutuskan untuk mengekalkan hukuman yang dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Augustine Paul, tahun lalu.

Anwar yang dihadapkan empat tuduhan rasuah dijatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap tuduhan pada 14 April tahun itu. Bagaimanapun hukuman itu berjalan serentak.

"Menurutnya (Lamin), pembebasan saya akan menimbulkan masalah bagi pasukan keselamatan!" kata Anwar sinis dalam satu kenyataan bertulis yang diedarkan kepada wartawan.

Beliau seterusnya memetik kata-kata bekas Ketua Hakim Negara, Tun Suffian Mohamed yang menjelaskan tanggapan orang ramai terhadap sistem kehakiman semakin merosot.

"Saya tidak ingin diadili (dibicarakan) oleh hakim-hakim sekarang, terutamanya sekiranya saya tidak bersalah," kata Suffian seperti disebut oleh Anwar dalam kenyataan itu yang disediakan sebaik sahaja selepas keputusan hakim dibacakan.

Panel rayuan yang dianggotai tiga orang hakim yang diketuai Lamin hari ini menyediakan keputusan penghakiman setebal 59 halaman.

Bagaimanapun, Lamin hanya membacakan dua baris ayat: "Saya tidak akan baca penghakiman ini. Rayuan (Anwar) bagi kesalahan dan hukuman ditolak."

Sementara itu, seorang peguam Anwar yang popular Gurbachan Singh memberitahu media di luar mahkamah bahawa mereka sendiri tidak menduga keputusan Mahkamah Rayuan

Beliau menambah kumpulan peguam bela semuanya terkejut dengan penghakiman selama dua minit yang disampaikan oleh Lamin.

"Memamg, ia ada kalanya berlaku (seperti itu), tetapi mahkamah selalunya membaca asas penghakiman tersebut (tidak seperti hari ini)," kata Gurbachan.

Anwar bagaimanapun berkata beliau akan meneruskan rayuan ke peringkat yang lebih tinggi walaupun terbatas dan tidak mempercayai akan mendapat keadilan.

"Rakyat akan dapat menghakimi sama ada badan kehakiman bertindak bebas dan adil atau lebih pincang dan bobrok lagi," katanya, sambil menambah akan merayu ke Mahkamah Persekutuan.

Anwar mempunyai masa selama 14 hari untuk menfailkan rayuan itu.

Selain Lamin, dua lagi hakim yang menganggotai panel itu ialah Datuk Mokhtar Sidin dan Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim