Selepas bertemu dan berbincang pada Ahad lalu, empat pengendali laman web reformasi yang masih aktif mengambil keputusan untuk meneruskan reformasi seperti yang dimulakan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mereka mengeluarkan satu "[#1] deklarasi bersama[/#] " pada 21 Mei yang mengandungi tujuh perenggan sebagai menegaskan komitmen untuk "taat setia kepada perjuangan reformasi dan akan terus mengukuhkan asas-asas perjuangan ini."

[#2] Pertemuan[/#] itu turut dihadiri oleh pengendali asal Laman Reformasi (LR) yang pernah diberitakan "meninggal dunia" awal tahun lalu.

Selain laman yang paling popular itu, pertemuan itu disertai Komentar yang sering mengkritik Parti KeADILan Nasional, Pemantau yang diwujudkan selepas pilihan raya umum lalu dan laman Black 14 sempena perhimpunan ulang tahun pertama Anwar dihukum penjara.

Dalam satu [#3] kenyataannya[/#] Isnin lalu, pengendali asal LR menulis, "saya telah dikejutkan dengan beberapa perubahan mendadak serta beberapa insiden yang memaksa hati kecil ini kembali menentukan agar perjuangan (reformasi) ini tetap subur dan akan terus menjadi gerakan membela nasib rakyat yang tidak diberi keadilan."

Bagaimanapun, beliau tidak menyebut sebarang kritikan atau aduan khusus yang dimaksudkan "beberapa perubahan mendadak" agar reformasi "tidak tergelincir daripada landasan asal."

Dalam [#4] tulisannya[/#] semalam, pengendali yang sama mendakwa menerima "beratus-ratus emel" yang bertanyakan tindakannya aktif semula secara tiba-tiba untuk mengendalikan laman web.

Teka-teki terjawab apabila mereka mengirim surat kepada Timbalan Presiden KeADILan, Dr Chandra Muzaffar dan Setiausaha Agungnya, Mohd Anuar Tahir, semalam dan mendesak mereka berundur atas alasan gagal memperjuangkan reformasi dan kelemahan ketara organisasi itu.

"Kehancurannya (KeADILan) mula diperlihatkan seawal empat bulan selepas penubuhannya," surat kepada Anuar dipetik. Parti itu dilancarkan pada 4 April tahun lalu.

"Adalah suatu malapetaka bagi KeADILan yang mempunyai kepimpinan seperti saudara (Chandra) dan Anuar Tahir yang memungkinkan KeADILan menjadi bahan ketawa Umno," surat kepada Chandra pula dipetik.

Menurut sumber, parti itu kini diambang perpecahan yang "amat serius" sekiranya tiada tindakan tegas diambil. Antaranya, kata sumber, beberapa pemimpin utama parti itu berhasrat meletakkan jawatan jika keadaan itu berterusan.

Antara isu yang dibangkitkan ialah sikap Chandra yang dikatakan tidak menyokong penggabungan KeADILan dengan Parti Rakyat Malaysia sedangkan idea itu datangnya daripada Anwar sendiri.

Mereka juga mendakwa aktivis dan pemimpin reformasi yang bergerak di peringkat awal, sebelum parti itu ditubuhkan, tidak diberikan tempat yang sewajarnya walaupun KeADILan bergerak daripada semangat reformasi sejak September 1998.

Kewujudan banyak kem-kem penyokong dan kegiatan 'cantas-mencantas' dalam parti itu juga menyebabkan ramai penyokong KeADILan dan reformasi berasa muak dan lemah semangat, kata sumber lagi.