Semua tapak web reformasi yang diwujudkan secara 'bawah tanah' hari ini melancarkan satu kempen terhadap Parti KeADILan Nasional dan mendesak dua pemimpin kanannya meletakkan jawatan.

Laman web yang paling popular, [#1] Laman Reformasi[/#]

atau 'mahazalim', memimpin gerakan protes empat tapak yang masih aktif itu dengan menutup laman mereka dengan warna hitam.

Tiga lagi tapak web yang terlibat ialah [#2] Pemantau[/#]

,[#3] Komentar[/#] dan[#4] Black 14[/#]

Selain warna hitam, Laman Reformasi menggunakan slogan "mendesak reformasi dalam KeADILan", Pemantau "memantau kepincangan dalam KeADILan", Black 14 "mencari 'sinar' dalam KeADILan," dan Komentar yang terkenal dengan siri kritikan terhadap parti itu sebelum ini berslogan "menuntut keadilan dalam KeADILan."

Keempat-empat web itu tidak dapat dicapai (access) akibat kempen "bertafakur seketika" tersebut.

Tindakan ini diambil sehari selepas pengendali web itu menghantar dua pucuk surat berasingan yang masing-masing bertarikh 23 Mei 2000 dan ditujukan kepada Timbalan Presiden, Dr Chandra Muzaffar dan Setiausaha Agungnya, Mohd Anuar Tahir.

Mereka mendesak dua pemimpin ini meletakkan jawatan dan memberi laluan kepada "muka-muka baru yang lebih berwibawa, telus dan ikhlas" berikutan kegagalan yang didakwa itu.

Pengendali laman ini mendakwa pemimpin kanan tersebut gagal meneruskan gerakan reformasi seperti yang dicetuskan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak beliau dipecat pada September 1998.

"Semua itu (reformasi jalanan) sudah berkecai," surat rasmi yang bertanda tangan empat pengendali itu dipetik.

"Berkecai kerana permainan politik yang berlebihan oleh kepimpinan (KeADILan). Berkecai kerana mengikut rentak permainan (politik Perdana Menteri) Dr. Mahathir."

Mereka juga mendakwa reformasi gagal kerana KeADILan "engkar kepada arahan Anwar" dan "pengkhianatan kepada perjuangan (reformasi) ini," selain mengutamakan agenda peribadi dan "strategi yang rapuh."

Pengendali laman juga mendakwa Chandra pernah berkata "Anwar dalam penjara, apa yang dia (Anwar) tahu" dan "kita tak perlu taksub kepada Anwar, kerana Anwar dalam Umno juga menyeleweng."

Mereka mendakwa kenyataan seperti itu bersifat "ugutan" dan "pengkhianatan" terhadap Anwar.

"Keangkuhan saudara (Chandra) memecah-belahkan parti itu," surat itu dipetik.

Dengan nada yang agak keras dan perkataan yang bertenaga, mereka mendakwa konflik politik dalam KeADILan sebagai "parti yang separuh gila" dan "perebutan jawatan yang rakus berselindung di sebalik demokrasi dan keadilan."

"Hasilnya ialah sebuah parti yang lemah dengan ahli-ahli yang tenggelam punca dan terkeliru yang bersengketa sesama sendiri," sumber yang sama dipetik.

Surat itu menyebutkan perpecahan dalaman di Pahang, Terengganu, Sarawak, Selangor, Johor dan khususnya di Wilayah Persekutuan dan pengendali-pengendali web itu menyalahkannya kepada Anuar.

"Kami sebagai webmaster (pengendali web) gerakan reformasi tidak akan berdiam diri untuk melakukan reformasi dalam parti mahupun di luar parti," ayat terakhir dua surat itu dipetik.

Kempen laman web reformasi ini dipercayai mengambil masa beberapa hari lagi.

Walaupun mengkritik KeADILan, semua web menyokong kempen parti itu bertanding dalam pilihan raya kecil Teluk Kemang yang berlangsung mulai 30 Mei hingga 10 Jun depan. Surat itu turut dihantar kepada beberapa pemimpin utama KeADILan, termasuk Presidennya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dan ketiga-tiga naib presiden, ketua pemuda dan ketua wanita, selain kepada Anwar sendiri.