Seramai 470,395 ambil SPM hari ini
Seramai 470,395 calon menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 di 3,616 pusat peperiksaan di seluruh negara bermula hari ini hingga 5 Dis depan.
Menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan (KPM), daripada jumlah itu seramai 415,509 calon sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan.
Sebanyak 8,054 calon pula dari sekolah di bawah agensi kerajaan selain KPM seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM); 8,325 calon Sekolah Menengah Agama Negeri; 11,261 calon sekolah swasta berdaftar dengan KPM; 25,857 calon sekolah persendirian; dan 1,389 calon Sekolah Menengah Agama Rakyat.
Di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Setiawangsa dan SMK Seksyen 5, Wangsa Maju di Kuala Lumpur, tinjauan Bernama mendapati calon-calon membuat keputusan bijak untuk datang awal ke sekolah dan mengelak kesesakan lalu lintas.
Terdapat juga beberapa calon yang dilihat mengambil kesempatan untuk membuat rujukan terakhir bersama rakan-rakan mereka sebelum menduduki peperiksaan.
Calon dikehendaki menduduki bilik atau dewan peperiksaan seawal 7.50 pagi bagi mendengar taklimat dan mengisi butiran maklumat diri di kertas jawapan, iaitu 10 minit sebelum peperiksaan bermula.
Hari ini, calon menduduki dua subjek iaitu Bahasa Melayu dan Pendidikan Seni Visual bagi calon yang mengambilnya.
Sementara itu di Kuala Terengganu, seramai 22,483 calon SPM menduduki peperiksaan itu di 180 buah peperiksaan melibatkan 1,513 petugas di seluruh negeri, kata Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu Zakaria Hussien.
"Seramai 58 calon SPM merupakan Calon Berkeperluan Khas (CBK)...kita sediakan kertas peperiksaan khas mengikut keperluan calon ini dan peruntukkan lebihan masa setengah jam untuk mereka," katanya ketika ditemui pemberita di Sekolah Menengah Ibrahim Fikri di Kuala Terengganu hari ini.
Menurutnya seramai 10 calon SPM menduduki peperiksaan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan seorang calon menduduki peperiksaan di Hospital Dungun.
Dalam perkembangan lain, Zakaria berkata seorang calon SPM, Mohd Nor Alif Harun, 17, yang mengambil jurusan automotif dari SMK Sultan Omar di Dungun meninggal dunia pagi ini setelah lima hari koma akibat kemalangan jalan raya.
"Beliau telah dimasukkan ke ICU (Unit Rawatan Rapi) pada Jumaat di HSNZ dan meninggal dunia pagi tadi," katanya.
Sementara itu di Johor Bahru seramai 57,090 calon menduduki SPM di 382 pusat peperiksaan di seluruh Johor.
Pengarah Pelajaran Johor Mohd Nor A Ghani berkata daripada jumlah itu, seramai 51,170 calon adalah dari sekolah kerajaan, 2,836 calon dari sekolah swasta dan 751 calon dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), 121 calon Sekolah Menengah Agama Negeri dan 2,212 calon persendirian.
"Tahun ini, seramai sembilan calon yang menduduki peperiksaan SPM sebagai calon tahanan di Sekolah Menengah Integriti, Kluang dan seramai 19 calon di Sekolah Menengah Integriti, Muar. Mereka merupakan calon persendirian," katanya kepada Bernama.
Menurutnya sebanyak 290 sekolah kerajaan dan swasta terlibat dengan peperiksaan itu tahun ini dengan 3,682 petugas dilantik bagi memastikan kelancarannya.
Jabatan Pendidikan Johor juga membuat persediaan untuk menghadapi banjir sepanjang tempoh peperiksaan ini.
Di Alor Setar pula, seramai 37,915 calon menduduki peperiksaan SPM di 280 pusat peperiksaan di Kedah.
Pengarah Pelajaran negeri Mansor Lat berkata daripada jumlah itu, seramai 32,883 ialah calon sekolah menengah harian, Maktab Rendah Sains Mara (960 calon), Maktab Mahmud (sekolah agama) (775 calon), Sekolah Agama Rakyat (981), sekolah swasta (330) dan calon persendirian 1,990 orang.
Beliau berkata seramai 82 calon pendidikan khas dan 16 calon Sekolah Integriti Sungai Petani menduduki peperiksaan itu manakala 12 pelajar terpaksa mengambil peperiksaan itu di hospital.
Seramai 10 calon pula mengambil peperiksaan di pusat pemulihan akhlak, katanya kepada pemberita ketika meninjau peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Jitra di Alor Setar, hari ini.
Di Kota Kinabalu, seramai 40,653 calon SPM menduduki peperiksaan di 336 pusat peperiksaan di seluruh negeri.
Daripada jumlah itu, 34,638 adalah calon sekolah bantuan kerajaan, 4,210 calon persendirian, 1,292 calon sekolah-sekolah swasta, 495 calon Maktab Rendah Sains Mara dan sekolah-sekolah menegah agama bantuan negeri.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Datuk Jame Alip berkata pihaknya juga sudah bersedia dengan pelan kontigensi untuk menghadapi banjir di negeri ini.
"Jabatan menyediakan pelan kontingensi A, B dan C untuk persiapan sekiranya bencana alam melanda sekolah dan kampung pelajar yang menduduki peperiksaan itu. Kita juga telah mengenal pasti sekolah atau pusat untuk pemindahan calon-calon SPM. Keutamaan kita ialah memastikan pelajar-pelajar dapat menduduki SPM,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata sebanyak 24 pejabat pendidikan daerah juga diarahkan bersedia dan mewujudkan unit gerakan khas bencana alam melibatkan bomba dan polis sepanjang tempoh peperiksaan SPM sehingga 5 Dis depan.
Antara kawasan yang berisiko dilanda banjir ialah Kinabatangan, Sandakan, Beaufort, Penampang, Inanam dan beberapa kawasan pantai barat seperti Keningau.
Di Labuan, seramai 1,070 calon menduduki peperiksaan itu di 11 pusat peperiksaaan.
Di Kota Bharu, seramai 34,217 calon menduduki peperiksaan SPM di 291 pusat peperiksaan di seluruh negeri.
Pengarah Pelajaran Kelantan Hussein Awang berkata daripada jumlah itu, seramai 27,048 calon daripada sekolah kerajaan, Yayasan Islam Kelantan (4,972 calon), sekolah swasta (123 calon) dan calon persendirian (2,049 calon).
"Calon Berkeperluan Khas pula seramai 22 calon," katanya ketika dihubungi Bernama di Kota Bharu, hari ini.
Selain itu, seorang calon menduduki peperiksaan itu di Hospital Raja Perempuan Zainab II dan seorang lagi di Penjara Pangkalan Chepa di Kota Bharu.
Di Melaka, seramai 15,675 calon menduduki SPM termasuk 10 pelajar menduduki peperiksaan di lima hospital di sekitar negeri ini.
Pengarah Jabatan Pelajaran Melaka Kasim Mohamad berkata daripada jumlah itu seramai 13,740 calon merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Teknik manakala 757 pelajar MRSM, 102 calon sekolah swasta serta 1,076 calon persendirian.
"Peperiksaan kali ini melibatkan 76 sekolah di bawah Kementerian Pendidikan dengan 39 daripadanya di daerah Melaka Tengah, 19 di Alor Gajah dan 18 di Jasin selain tiga sekolah MRSM dan dua sekolah swasta," katanya ketika dihubungi di Melaka, hari ini.
Beliau berkata seramai 1,099 petugas ditempatkan di 109 pusat peperiksaan di seluruh negeri bagi memastikan kelancaran perjalanan SPM.
- Bernama

