Kerajaan tidak lulus kad akhbar 'malaysiakini'
Kementerian Penerangan hari ini memutuskan akhbar internet perlu mendapatkan permit daripada Kementerian Dalam Negeri sebelum meluluskan permohonan kad perakuan akhbar.
Ketua Pengarah Jabatan Penerangan, Datuk Abas Salleh berkata, syarikat internet yang diperlukan memohon permit KDN sebelum meluluskan kad akuan tersebut merupakan "prosedur biasa".
"Setiap syarikat media perlu mematuhi syarat ini," kata Abas menjelaskan masalah permohonan akhbar dalam talian yang terulung di negara ini, malaysiakini .
Apabila ditanya berhubung kelonggaran syarat permohonan kad tersebut, Abas menegaskan tidak ada sebarang pengecualian dan pihak Malaysiakini.com tetap memerlukan permit KDN itu.
Menurut Setiausaha Akhbar, Zukri Velentino, Kementerian Penerangan menolak permohonan malaysiakini.com untuk mendapatkan kad tersebut setelah perkara itu dirujukkan kepada menteri berkenaan Tan Sri Khalil Yaacob.
Bagaimanapun, Penolong Setiausaha di Kementerian Dalam Negeri, Ghaffar Dollah berkata, syarikat Internet tidak perlu memohon permit. Tambah beliau, hanya bahan maklumat yang dicetak perlu mendapatkan permit.
"Sekiranya Kementerian Penerangan memerlukan permit itu, KDN tetap menyatakan bahawa akhbar Internet tidak memerlukan permit," tegas Ghaffar.
Malaysiakini.com hari ini menegaskan bahawa syarikat itu tidak akan memohon permit KDN untuk mendapatkan kad akuan akhbar.
Editornya Steven Gan berkataka akhbar itu akan menghantar surat kepada KDN supaya kementerian itu dapat menjelaskan kepada Kementerian Penerangan berhubung percanggahan prosedur permohonan itu.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.