Mohan mahu tanding naib presiden MIC
Ketua Pemuda MIC Datuk T Mohan mahu bertanding jawatan naib presiden dalam pemilihan parti 30 November ini.
"Saya bertanding atas kemahuan sendiri, berdasarkan khidmat saya kepada masyarakat, parti dan Barisan Nasional selama lebih sedekad dan mempunyai keyakinan para perwakilan akan memberi sokongan kepada saya.
"Saya berpendapat saya boleh menyumbang lebih banyak untuk kebaikan masyarakat India dan dan menyuarakan masalah mereka dalam parti," katanya dalam sidang media di ibu pejabat MIC di ibunegara hari ini.
Perkembangan ini menjadikan jumlah pemimpin yang telah mengumumkan hasrat bertanding bagi tiga jawatan naib presiden kepada lapan orang.
Mereka termasuk bekas Naib Presiden MIC Datuk S Sothinathan, bekas Ketua Pemuda MIC Datuk SA Vignesawaran, Datuk S. Balakrishan dari Johor dan Bendahari Agung parti Datuk Jaspal Singh.
Penyandang naib presiden iaitu Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M Saravanan dan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak Datuk Seri S.K Devamany akan mempertahankan jawatan masing-masing.
Pengarah Strategik MIC S Vell Paari, anak bekas Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu, memutuskan untuk tidak bertanding jawatan Naib Presiden atau jawatankuasa kerja pusat (CWC) dalam pemilihan parti.
Pencalonan bagi jawatan timbalan presiden, naib presiden dan 23 jawatan CWC ditetapkan pada 16 November manakala pemilihan pada 30 November.
- Bernama

