Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) dan Persatuan Wartawan Komanwel (CJA) cawangan Sarawak menuduh portal berita Sarawak Report mengamalkan kewartawanan murahan kerana didakwa memutar belit fakta tentang lawatan wartawan dari Kuching dan Bintulu ke projek empangan hidroelektrik (HEP) Murum minggu lepas.

    

KDJA dan CJA Sarawak menyangkal tuduhan portal berita dalam talian itu bahawa wartawan terbabit diberi maklumat yang amat bercanggah dengan keadaan sebenar oleh beberapa wakil Sarawak Energy Berhad (SEB).

    

"Kunjungan ke projek empangan hidroelektrik Murum adalah hasil cadangan KDJA dan CJA pada majlis berbuka puasa bersama SEB tahun ini berikutan begitu banyak perkara yang didengar tentang Empangan Murum dan penunjuk perasaan yang membantah pembinaan empangan itu," kata dua persatuan tersebut dalam kenyataan bersama di Kuching.

    

Mereka berkata Ketua Pegawai Eksekutif SEB Datuk Torstein Dale Sjotveit bersetuju menimbang cadangan itu.

    

Oleh kerana SEB berpendapat lawatan sahaja tidak memadai, maka ia bersetuju menganjurkan satu bengkel untuk memberi kefahaman tentang tenaga hidro agar para wartawan memperoleh maklumat secukupnya mengenai pembinaan empangan apabila mereka berkunjung ke Empangan Murum kemudiannya dan SEB juga mengatur pemergian para wartawan terbabit ke tapak penempatan Tegulang untuk masyarakat Penan yang terjejas akibat pembinaan empangan itu.

    

Mereka berkata sepanjang perjalanan sejauh 200km dari Bintulu ke Murum selama enam jam, sebahagian besarnya dengan menggunakan laluan balak, wartawan terbabit tidak nampak seorang pun anggota masyarakat Penan mengendalikan sekatan jalan seperti yang didakwa Sarawak Report dalam lamanwebnya, sebaliknya mereka ternampak satu tapak sekatan jalan yang sudah ditinggalkan berhampiran Empangan Murum.

    

Seramai 24 wartawan menyertai lawatan ke Empangan Murum pada 30 Oktober lepas manakala sehari sebelum itu, mereka menghadiri bengkel sehari bertajuk 'Memahami Tenaga Hidro' yang dikendalikan pakar daripada SEB, yang sentiasa bersedia menjawab soalan yang dikemukakan para peserta ketika di Bintulu.

    

KDJA dan CJA mengingatkan Sarawak Report bahawa bengkel yang diadakan itu adalah berkaitan 'Memahami Tenaga Hidro', bukan taklimat seperti yang didakwanya dan menambah: "Bengkel itu memberi banyak pelajaran dan maklumat, manakala antara soalan yang dikemukakan pula adalah berkaitan kebimbangan mereka yang tinggal di kawasan hilir jika sesuatu perkara berlaku terhadap Empangan Murum".

"Mereka juga bertanya tentang perbandingan antara Empangan Murum dengan empangan di Cameron Highland, Pahang dan tentang keperluan membina lebih banyak empangan atau sama ada membina terlalu banyak empangan di pedalaman Sarawak boleh menyebabkan berlaku gempa bumi," kata dua persatuan itu.

    

Peserta juga bertanya tentang pampasan yang dibayar kepada penduduk Penan dan jumlah pampasan yang mereka tuntut.

KDJA dan CJA, yang menegaskan bahawa mereka tidak kisah tentang di mana penduduk Penan mengadakan sekatan jalan, mendakwa Sarawak Report cuba melaga-lagakan antara wartawan dengan penduduk Penan yang mengadakan sekatan jalan.

    

"Lagi pun, lawatan itu tidak langsung bertujuan untuk berjumpa dengan penduduk Penan di tapak sekatan jalan," kata mereka dan menambah bahawa tujuan mereka hanyalah untuk mendapatkan maklumat secara langsung tentang empangan itu daripada sumber yang tepat, bukan dari pihak lain.

    

"Kalau pun mereka berjumpa dengan kaum Penan di tapak sekatan jalan, ia adalah secara kebetulan sahaja. Di Tegulang, wartawan terbabit berbual secara bebas dengan kaum Penan dan bertanya sama ada mereka gembira apabila diberi penempatan baru," kata dua persatuan itu.

    

Oleh itu, kata mereka, adalah suatu perbuatan yang amat tidak bermaruah apabila pihak tertentu memilih untuk mempolitikkan keikhlasan SEB menganjurkan lawatan media baru-baru ini, lebih-lebih lagi kerana ia memberi peluang kepada wartawan untuk melihat sendiri, tanpa perlu diberitahu oleh orang lain, tentang masyarakat itu.

    

"Tidak pernah dan tidak seorang pun diperingatkan tentang apa yang patut dan tidak patut ditulis," kata mereka.

- Bernama