Anggota Parlimen Kulai, Teo Nie Ching menggesa kerajaan menjelaskan sama ada subsidi gas asli akan dikurangkan dalam masa terdekat dan menyebabkan harga sumber asli itu meningkat.

Menurutnya, jika polisi pengurangan subsidi oleh kerajaan berterusan, ia membuktikan bahawa kerajaan BN sebenarnya adalah 'kerajaan Barang Naik'.

NONE "Jadi saya menggesa kerajaan mengesahkan ketepatan kenyataan ini, sama ada kerajaan akan mengurangkan subsidi gas asli dalam masa terdekat.

"Jika polisi ini tidak dapat dielakkan, maka terbuktilah kerajaan BN adalah 'kerajaan Barang Naik'," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang medianya di lobi Parlimen pagi tadi dengan merujuk kepada kenyataan Pengarah Kanan Suruhanjaya Tenaga, Ir Azhar Omar pada satu forum pada 7 November lalu.

Menurut Teo, Azhar mendakwa kenaikan tarif elektrik tidak dapat dielakkan memandangkan subsidi untuk industri tenaga tidak dapat diteruskan di samping peningkatan harga minyak, gas dan arang batu di seluruh negara.