Malaysiakini
Malaysiakini BERITA

Anwar: BERNAS dinyahsenarai untuk kroni

Ahmad Fadli KC

Diterbitkan  |  Dikemaskini

VIDEO l 8:18 minit

Cadangan menyahsenaraikan syarikat beras nasional BERNAS adalah satu 'pengkhianatan' kepada janji kerajaan pada tahun 1995 yang berikrar untuk memastikan kepentingan petani, pengedar beras dan pekerja padi bumiputera dipelihara, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

NONEMenurut Anwar, pada tahun 1995 beliau yang merupakan menteri kewangan pada masa itu mengumumkan 45 peratus saham BERNAS akan kekal dimiliki pelbagai organisasi mewakili petani, nelayan dan kakitangan BERNAS.

Namun kini kata Anwar, sebahagian besar saham BERNAS kini dimiliki tokoh korporat Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary menerusi pelbagai syarikat dan beliau bakal memonopoli beras di Malaysia seandainya penyahsenaraian itu menjadi kenyataan.

NONE"Bagaimana seorang individu dibenar memiliki monopoli ke atas beras sebegini, yang mungkin mendatangkan kemudaratan terhadap kestabilan harga di masa hadapan, yang merupakan niat asal penswastaan BERNAS?" tanya Anwar pada sidang medianya di lobi Parlimen tengah hari tadi.

Dakwa Anwar, sehingga hujung tahun 2009, Syed Mokhtar memiliki 53.7 peratus saham BERNAS menerusi syarikatnya iaitu Gandingan Bersepadu Sdn Bhd dan Tradewinds.

Susulan mandat dari kerajaan untuk BERNAS menguruskan bekalan beras negara dan import beras dari Januari 2011 sehingga 10 Januari 2021, Syed Mokhtar dakwa Anwar mula menawarkan untuk membeli baki saham BERNAS pada harga RM3.70 sesaham menerusi empat syarikat lain.

NONEEmpat syarikat itu adalah Perspective Lane (M) Sdn Bhd, Kelana Ventures Sdn Bhd, Seaport Terminal (Johore) Sdn Bhd dan Acara Kreatif Sdn Bhd.

Susulan itu, lembaga pengarah BERNAS dinasihatkan menyahsenarai syarikat itu dari Bursa Malaysia kerana milikan awam kini susut kepada 16.31 peratus - iaitu di bawah paras 25 peratus untuk penyenaraian, dakwa Anwar.

"Adakah milikan ekuiti mereka (petani dan pengedar bumiputera) tidak penting di mata kerajaan, berbanding kepentingan individu maha kaya dan mempunyai 'kabel' politik sebegini?" tanya Anwar.

"Kami kecam pengambilalihan ini yang bersifat oportunis ketika monopoli BERNAS ke atas import beras dilanjutkan sehingga 2021," kata Anwar lagi.