Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
Lagi berita dari pengarang
mk-logo
Berita
Kesatuan sekerja syak keputusan mahkamah dipengaruhi

Dua kesatuan sekerja menuntut penjelasan bekas menteri sumber manusia Datuk Dr S Subramaniam yang disyaki mereka mempengaruhi keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes pendaftaran kesatuan sekerja dalaman Maybank.

Pendaftaran itu dicabar oleh Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (Nube).

NONE MP Kuala Langat Abdullah Sani Abdul Hamid (kiri) pada sidang media bagi pihak Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) di lobi Parlimen mendakwa, keputusan mahkamah pada 7 November lalu sama dengan laporan kementerian kepada Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dua tahun sebelumnya.

Laporan itu menurutnya bertarikh 22 Jun dan 5 Oktober 2011.

Dalam kenyataan medianya, MTUC mendakwa Subramaniam memaklumkan Jawatankuasa Pakar Kebebasan Berpersatuan ILO yang mahkamah menerima pendaftaran Mayneu sebagai kesatuan sekerja dalaman Maybank yang sah.

Setiausaha Agung NUBE J Solomon yang hadir di Parlimen pagi tadi tidak menolak kemungkinan laporan menteri itu mempengaruhi keputusan mahkamah yang hanya dibuat dua tahun kemudiannya.

"Saya tidak menolak kemungkinan itu," kata Solomon sewaktu ditanya wartawan jika pihaknya menganggap pengumuman menteri itu mempengaruhi keputusan mahkamah.

Abdullah Sani kemudian membangkitkan perkara yang sama sewaktu perbahasan belanjawan peringkat dasar oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Ismail Abd Mutalib.

"Saya tak boleh kata itu betul atau salah kecuali saya dapat dokumen yang sah," kata Ismail menjawab isu itu.

Sementara itu Subramaniam ketika ditemui di bangunan Parlimen petang tadi, menjelaskan bahawa perkara itu berpunca daripada "kesilapan teknikal MTUC".

Subramaniam yang kini merupakan Menteri Kesihatan berkata beliau menyerahkan perkara itu untuk diperjelaskan oleh Kementerian Sumber Manusia yang menurutnya akan mengeluarkan kenyataan rasmi tidak lama lagi.