Wan Junaidi: MyKad palsu mungkin dari dokumen dicuri
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata MyKad palsu yang diperolehi oleh kumpulan pendatang asing dengan mudah mungkin berpunca dari dokumen yang hilang atau dicuri.
Wan Junaidi yang menjawab satu soalan di Dewan Rakyat berkata, kira-kira 400,000 MyKad dilapor hilang pada tahun 2010, dan ia meningkat kepada lebih 565,000 kad sehingga Oktober tahun ini sahaja.
"Kementerian tak menolak yang kad-kad milik orang lain digunakan warga asing yang diselewengkan daripada MyKad yang hilang kerana kecuaian.
"Kad yang dicuri mungkin dijual kepada sindiket oleh mereka yang tidak bertanggungjawab," katanya sewaktu menjawab soalan Datuk Dr Marcus Mojigoh (BN-Putatan).
Menurutnya, kerajaan sudah bersedia untuk bertindak secara "drastik" bagi mengekang perkara itu.
Bagaimana pun, beliau tidak menjelaskan langkah terperinci yang akan diambil kerana ia masih lagi tertakluk kepada kelulusan peguam negara.
"Cadangan akan dimuktamadkan segera selepas mendapat pandangan perundangan dari Jabatan Peguam Negara," katanya.
Wan Junaidi yang menjawab soalan oleh Darrel Leiking (PKR-Penampang) turut menegaskan bahawa kerajaan masih belum dapat menimbang cadangan untuk mengeluarkan semula MyKad di negeri Sabah bagi mengatasi isu dokumen palsu di negeri itu.
Menurutnya, kerajaan hanya akan menimbangkan perkara itu selepas Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat pendatang asing di Sabah mengemukakan laporan dan cadangan mereka.
Leiking meminta kerajaan menjelaskan sekiranya akan mengeluarkan semula kad pengenalan kepada penduduk Sabah selepas cadangan itu ada dikemukan kepada suruhanjaya tersebut sebelum ini.

