Laporan NFC dibentang di Parlimen minggu depan
Laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) tentang National Feedlot Corporation akan dibentangkan di Parlimen pada 3 Disember depan selepas tertangguh selama seminggu, kata pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamad.
Menurut Nur Jazlan, laporan itu antaranya mengandungi beberapa saranan daripada PAC berkenaan projek tersebut sudah diluluskan PAC pada minggu lalu.
Namun, setiausaha Dewan Rakyat membuat keputusan untuk laporan itu dibentangkan pada minggu hadapan, katanya.
Menurut Jazlan, pada hari yang sama juga Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan hadir bertemu PAC untuk memberi penjelasan tentang projek membina loji pembakar sampah (insinerator).
"Pada 3 Disember KPKT dipanggil beri penerangan tentang projek insinerator.
"Perkara ini pun kami pandang penting kerana KPKT akan teruskan lebih banyak projek insinerator di negara kita.
"Laporan NFC juga dijangka dibentangkan di Parlimen pada hari sama, 3 Disember," katanya pada sidang media selepas bertemu wakil daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia di bangunan Parlimen petang tadi.
Tambahnya lagi, laporan itu akan dibentangkan sehari selepas laporan Ketua Audit Negara siri ketiga dibentangkan di Parlimen pada 2 Disember.

