Serangan siber: M'sia kerjasama dengan negara asing
Malaysia mahu bekerjasama dengan negara lain bagi menghadapi serangan dan krisis siber di masa akan datang.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata walaupun negara tidak mampu bersendirian dalam menghadapi ancaman siber yang lebih sofistikated dan merentasi sempadan.
"Dengan tujuan tersebut, Malaysia mahu menjemput negara asing dan serantau untuk menyertai latihan pengurusan krisis siber pada masa hadapan," kata beliau ketika memberi ucapan dalam majlis penutupan latih amal krisis siber negara 2013 (X-Maya 5) di Damansara hari ini.
X-Maya merupakan latihan amali tahunan yang menggabungkan pelbagai agensi kerajaan serta Prasarana Maklumat Kritikal Negara (CNII) dalam menghadapi ancaman siber.
Sehubungan itu Muhyiddin turut melancarkan Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) 24 yang merupakan mekanisme pengurusan krisis siber negara meliputi semua peringkat.
Beliau turut mengarahkan semua agensi agar mewujudkan pasukan respon kecemasan komputer (CERT) bagi mengambil tindakan segera serta membangun dan meningkatkan prosedur keselamatan komputer di jabatan masing-masing.
"Dengan pelaksanaan arahan ini, kerajaan dapat mengetahui situasi keselamatan siber semasa dan tahap kesiapsiagaan negara dalam menghadapi ancaman dan serangan siber," kata beliau.
Sementara itu, setiausaha MKN Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab yakin tahap keselamatan siber negara sudah dipertingkat sejak peristiwa pencerobohan kolektif penggodam 'Anonymous' pada 2011.
"Sejak 2011, kita telahpun memperbaiki malah agensi yang menyertai X-Maya inilah yang membantu dalam menyelesaikan ancaman siber negara kita," kata beliau.

