MIC benar semula 38 perwakilan Pemuda mengundi
Dalam tempoh tidak sampai 24 jam, MIC menukar pendirian membenarkan 38 anggota perwakilan Pemudanya mengundi dalam pemilihan kebangsaan prti itu pada 30 November ini, setelah menghalang mereka berbuat demikian semalam.
Keputusan itu dibuat selepas satu mesyuarat tergempar dipanggil jawatankuasa pengurusan MIC yang diketuai Presiden parti Datuk Seri G Palanivel di ibupejabat MIC pagi ini.
Ketika mengumumkan keputusan itu, Setiausaha Agung parti A Sakthivel berkata:
"Pengundi hantu (dilaporkan berada di luar negara), yang kad pengenalannya digunakan dalam pemilihan (kebangsaan) Pemuda (baru-baru ini), sudah dipecat, dan (kewujudan) sembilan anggota perwakilan yang muflis, tidak menjejakan keputusan pemilihan.
"Oleh itu, 38 anggota perwakilan berkenaan dibenar mengundi dalam pemilihan kebangsaan parti bagi memilih tiga naib presiden dan 23 anggota jawatankuasa kerja pusat (CWC) pada 30 Nov ini di Melaka."
Semalam, 38 anggota perwakilan Pemuda MIC, termasuk Ketua Pemuda yang dipilih baru-baru ini, C. Sivarraajh, tidak dibenarkan mengundi dalam pemilihan kebangsaan parti itu kerana wujud perkara yang melanggar peraturan.
Sementara itu, Ketua Pemuda C Sivarraajh mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan MIC kerana membuat keputusan membenarkan semula beliau dan 37 anggota perwakilan Pemuda lain mengundi dalam pemilihan itu.
"Saya berharap kejadian seperti ini tidak berulang setelah keputusan yang tidak betul, diperbetulkan. Satu keputusan baik dan tepat telah dibuat demi masa depan parti," katanya kepada pemberita di ibu pejabat MIC di ibunegara.
Sivarraajh berjanji sayap Pemuda yang dipimpinnya akan bekerja lebih tekun bersama kepimpinan tertinggi MIC untuk mewujudkan masa depan lebih cerah untuk masyarakat India serta meningkatkan kepercayaan mereka terhadap MIC.
- Bernama

