Polis menahan empat lelaki berusia antara 22 dan 37 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes membelasah seorang lelaki sehingga maut di jalan susur ke Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), Sentul semalam.

    

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Kuala Lumpur ACP Khairi Ahrasa berkata kesemua suspek ditahan pada 10 pagi ini ketika mereka datang ke Balai Polis Sentul untuk memberi keterangan berhubung kejadian itu.

    

Beliau berkata berdasarkan laporan yang diterima pihaknya, dalam kejadian pukul 7.50 petang itu, kira-kira 15 orang awam mengelilingi serta memukul mangsa yang berumur 32 tahun dan anggota polis yang tiba di tempat kejadian meleraikan keadaan sebelum membawa lelaki berkenaan ke Balai Polis Sentul dengan kereta peronda.

    

Bagaimanapun, sebaik tiba di pekarangan balai, mangsa didapati tidak sedarkan diri, kata Khairi dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata polis meminta bantuan perubatan dan apabila ambulans tiba bersama pegawai perubatan, mereka mendapati lelaki itu sudah meninggal dunia.

    

Khairi juga berkata siasatan polis mendapati kejadian berlaku berikutan kes kecurian kereta Honda Civic dari tempat letak kereta Taman Putra Perdana, Puchong pada Rabu lepas.

    

Rakan pemilik kereta itu yang bermotosikal berjaya mengesan kenderaan berkenaan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di Lebuhraya DUKE menghala ke Jalan Duta petang semalam.

    

Beliau berkata mereka cuba menahan dua lelaki, termasuk mangsa yang berada dalam kereta yang dilaporkan dicuri itu.

    

Katanya, seorang daripada mereka berjaya meloloskan diri manakala mangsa dibelasah dan maut berikutan kecederaan di kepala.

    

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian itu tampil memberi maklumat kepada Pegawai Penyiasat ASP Wan Abdullah Wan Said di talian 03-6256 2280 atau 03-6256 2307.

    

- Bernama