Nik Amar, Mahfuz dilantik anggotai PAS Pusat
PAS melantik semula pemimpin kanan yang tewas dalam pemilihan sebelum ini ke dalam jawatankuasa parti Islam itu.
Datuk Mahfuz Omar yang tewas dalam mempertahankan kerusi naib presiden hari ini dilantik sebagai ketua penerangan.
Manakala calon timbalan presiden Datuk Mohd Amar Nik Abdullah (
kanan
) yang tewas di tangan penyandang Mohamad Sabu dilantik sebagai anggota jawatankuasa Pusat PAS bersama calon naib presiden yang tewas Datuk Abu Bakar Chik.
Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat pertama jawatankuasa Pusat PAS selepas muktamar agung tahunan, semalam di Pejabat Agung PAS di Kuala Lumpur.
Mesyuarat yang dipengerusikan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga mengekalkan setiausaha agung dan pengarah pilihan raya sedia ada, iaitu Datuk Mustafa Ali dan Mohd Hatta Ramli.
Manakala Menteri Besar Kelantan Dato Ahmad Yaakob pula dilantik sebagai bendahari yang baru menggantikan Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.
Pelantikan penolong setiausaha agung dan pesuruhjaya PAS Pulau Pinang bagaimanapun belum dibuat dan hanya akan diputuskan dalam mesyuarat bulanan pada 17 Disember nanti.
PAS negeri itu kini diketuai Datuk Mohd Salleh Man.
PAS Pulau Pinang sebelum ini mencuri perhatian media selepas percakaran secara terbuka pemimpin kanannya dengan kerajaan negeri pimpinan DAP.

