Shahrir: Apa niat Khalid sokong MP naik gaji?
MP Johor Bahru Tan Sri Shahrir Samad mempersoalkan niat sebenar menteri besar Selangor yang dilapor akan menyokong kenaikan gaji anggota Parlimen seandainya cadangan itu diusulkan perdana menteri.
Menurut Shahrir, Tan Sri Khalid Ibrahim tidak perlu membuat kenyataan demikian bagi menutup kesilapan beliau menaikkan gaji wakil rakyat di Selangor.
Sedangkan, kenaikan gaji ADUN Selangor itu turut dikritik pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan negeri Azmin Ali.
"Apabila MB Selangor sokong MP juga naik elaun, saya persoalkan keikhlasan dia.
"Jangan cuba tutup kesilapan sendiri.
"Kalau tak, takkanlah MP Gombak yang juga ADUN boleh membantah (kenaikan gaji itu)," katanya pada sidang media pagi tadi.
Katanya lagi, sebarang kenaikan gaji anggota Parlimen atau ADUN perlulah diukur berasaskan keluaran dalam kasar negara (KDNK) per kapita seperti diamalkan Australia dan UK.
Menurutnya, gaji penggubal undang-undang di Australia adalah 3 kali ganda KDNK per kapita sementara di UK pula adalah sekitar 2.7 kali ganda indeks yang sama.
Katanya, KDNK per kapita Malaysia ketika ini adalah sekitar RM33,500 dan jika Malaysia menggunakan pekali 3 seperti Australia, gaji ADUN dan MP Malaysia adalah sekitar RM10,000 sebulan.
Tegasnya lagi, elemen berkhidmat kepada rakyat, pengecualian cukai pendapatan ke atas gaji MP dan ADUN, serta skim pencen menyebabkan gaji wakil rakyat tidak wajar terlalu tinggi berbanding purata pendapatan rakyat.
"Kerana elemen pencen, kita kebiasannya faham gaji perkhidmatan awam ini lebih rendah daripada sektor swasta.
"Malaysia hari ini (pekalinya) dalam 2.1 (daripada KDNK per kapita).
"Jadi kita boleh sampai 3. Kalau kita pakai sampai 10, jurang kita dengan rakyat yang kita wakili akan makin bertambah," katanya lagi.
Kenaikan gaji kepada kesemua 56 ADUN tersebut, berkuatkuasa 1 Januari depan, dijalankan melalui usul yang diluluskan di DUN pada 27 November lalu.
Rang undang-undang Enakmen Anggota Pentadbiran dan Anggota Dewan Negeri (Saraan) (Pindaan) 2013 itu turut memperuntukkan kenaikan gaji Speaker DUN, menteri besar dan barisan exco kerajaan negeri.

