Cadangan muzakarah PAS-Umno disambut baik, bagaimanapun terdapat kebimbangan terhadap keikhlasan parti Islam itu.

Perkara itu dinyatakan oleh penyokong usul pendidikan, agama dan sosial, Datuk Zaleha Husin di perhimpunan Wanita Umno 2013 hari ini.

"Cuma PAS ini saya bimbang dia suka bersandiwara, dia adalah pelakon merak kayangan yang hebat.

"Tapi kalau DAP tarik hidung dia sikit ataupun pulas telinga dia maka dia lain, dia tak sebut muzakarah," kata beliau ketika perbahasan.

Tambahnya dengan adanya keikhlasan, muzakarah bukan satu khayalan.

Ketua wanita Kubang Kerian itu juga berkata, muzakarah Umno-PAS perlu ekoran nilai permuafakatan antara umat Islam dan Melayu sudah berkurangan.

"Sudah sampai masanya PAS dan Umno bersatu kerana kita sudah tiada masa lagi. Kalau kita, Umno dan PAS tidak bersatu, negara yang dimiliki umat Islam dan negara yang dimiliki orang Melayu ini tidak mustahil akan mati ditelan zaman begitu saja, katanya.

"Antara kita (Umno) dan PAS ibarat bangunan. Tidak akan runtuh bangunan itu jika adanya kerjasama antara Umno dan PAS," saran beliau.