Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Perwakilan Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Syafie Abdullah mencadangkan kepada Umno dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor supaya mengecualikan kenaikan cukai pintu untuk rumah kediaman di Kuala Lumpur.

Syafie berkata majoriti hartanah di Kuala Lumpur adalah hartanah komersil yang mencecah 56 peratus dan hanya akan menyusahkan pemilik kediaman kos rendah.

"Untuk rapatkan balik hubungan dengan wargakota, kalau boleh rumah kediaman kos rendah, rumah kampung semua, tak payah naik cukai pintu. Kalau nak naikkan (cukai) bangunan komersil sahaja.

"Saya yakin DBKL akan dapat capai apa yang nak dikutip dengan (bangunan) komersil," katanya dalam perbahasan ucapan dasar presiden Umno hari ini.

Syafie juga turut berharap agar pembinaan Skim Perumahan Rakyat 1 Malaysia di Kuala Lumpur dapat dipercepatkan.

"Bagaimanapun jangan bagi harga sampai RM200,000 atau RM 300,000 susah juga orang muda yang baru berkahwin nak beli. Nanti dapat dekat orang yang tak diharapkan," katanya.

Beliau turut bersetuju dengan perwakilan Perak dan Pemuda Umno dalam isu kenaikan tarif elektrik.

"Saya percaya kenaikan tarif ini dibuat dengan tak betul. Hari ini umum, hari ini juga umum keuntungan," ulas beliau.

Sementara itu Tengku Adnan ketika ditemui di lobi enggan mengulas tapi akan mengeluarkan kenyataan bertulis mengenai hal cukai pintu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS