Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata agensi bawah kementeriannya akan berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri sebelum menyiasat pemimpin PAS yang didakwa terlibat dengan ajaran Syiah.

Jamil Khir berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu mendapatkan dan meneliti bukti sebelum memulakan penyiasatan dan mengambil tindakan undang-undang Syariah.

Katanya, Jakim perlu menemui KDN untuk mendapatkan maklumat berhubung tuduhan tersebut.

"Kita jumpa KDN dulu, dapatkan semua maklumat. Nak buat tuduhan perlu bukti.

"Selepas bincang baru kita buat kenyataan," katanya yang menambah, Jakim akan mengambil langkah wajar dalam hal berkenaan kerana badan berkenaan memandang serius kes ajaran sesat termasuk Syiah.

Beliau turut menafikan bahawa hanya bersikap pilih kasih dan bertindak terhadap pihak pembangkang sahaja.

"Dalam hal Syiah ia libatkan semua pihak bukan hanya satu pihak atau parti," tegas beliau.

Beliau bercakap dalam sidang media slepas merasmikan Majlis Sambutan Bulan Zakat Kebangsaan dan Ijtima Amil Zakat Kebangsaan 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Beliau mengulas saranan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya Jakim mengambil tindakan ke atas individu didakwa sebagai "pemimpin nombor dua PAS" yang didakwa terlibat dengan ajaran Syiah.