Kelantan mencadangkan penubuhan jawatankuasa bersama melibatkan kerajaan negeri dan Pusat bagi mengkaji pelaksanaan hudud di negeri itu, kata exco penerangan Kelantan Datuk Mohamed Fadzli Hassan.

NONE Katanya, cadangan itu dilontarkan dalam pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Besar Datuk Ahmad Yaakob ( kiri ) dalam pertemuan empat mata mereka di Putrajaya pada hujung bulan lalu.

"Semasa perjumpaan antara kepimpinan kerajaan Kelantan dengan perdana menteri baru-baru ini kita sudah mencadangkan agar ditubuhkan jawatankuasa bersama ke arah perlaksanaannya.

"Jawatankuasa ini bagi meraikan pandangan yang mengatakan perlu kepada kerjasama dan kelulusan pusat dan pindaan terhadap beberapa peruntukan undang-undang," katanya, menjawab soalan Malaysiakini melalui SMS semalam.

RM1 juta untuk prasarana

Diminta mengulas perkembangan terkini isu itu, Fadzli berkata, kerajaan negeri sudah membuat persediaan berkaitan perlaksanaan hukum hudud, termasuk memperuntukkan RM1 juta dalam belanjawan 2014 bagi melengkapkan prasarana pelaksanaannya.

NONE "Di samping itu, jawatankuasa prateknikal dan teknikal telah ditubuhkan bagi menjalankan kajian dan perbincangan," kata Fadzli ( kanan ).

Namun, katanya lagi, kerajaan negeri masih menunggu pindaan perlembagaan dan undang-undang persekutuan untuk membolehkan ia dilaksanakan.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas panjang perkara berkenaan.

Menurut kerajaan negeri, hudud menjadi agenda utama perbincangan dalam pertemuan Najib-Ahmad pada 28 November lalu.