Penjual ikan maut terkena renjatan elektrik
Seorang penjual ikan maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik daripada wayar kabel di tepi parit Jalan Abi Kubang Badak di Kangar.
Ketua Polis Daerah Kangar Supt Abd Rahman Mohd Nordin berkata pihaknya menerima maklumat pada 1.30 pagi ini berhubung penemuan mayat Mohammad Demo Ali, 52, dari Kampung Lubuk Gajah, Padang Melangit dekat Kangar, di tempat kejadian.
Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa berada dalam parit itu untuk menangkap ikan dan ketika ingin keluar, dia dikatakan memegang wayar kabel pada tiang elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebelum terkena renjatan elektrik.
Petugas Hospital Tuanku Fauziah yang dihubungi dan tiba di lokasi kejadian selepas itu tidak dapat membantu mangsa kerana badannya masih terdapat arus elektrik.
Jenazah Mohammad Demo hanya dialih dan dihantar ke hospital berkenaan untuk bedah siasat selepas kakitangan TNB sampai memotong bekalan elektrik.
Abd Rahman juga berkata tiada unsur jenayah dalam kes itu.
-Bernama

