Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
NPC, Blues Gang kutip dana kebajikan wartawan

Kelab Akhbar Kebangsaan Malaysia (NPC) dan kumpulan Blues Gang bekerjasama malam ini untuk majlis makan malam tahunan NPC dan mengutip dana kebajikan sempena empat dekad kumpulan itu dalam industri hiburan.

Presiden NPC Mokhtar Hussein berkata mereka semua berkumpul hari ini untuk tujuan baik dan juga untuk menambah kutipan dana bagi Tabung Kebajikan Wartawan NPC untuk membantu wartawan dan anggota keluarga mereka sekiranya berlaku kematian atau menghidap penyakit.

"Kami yakin jamuan makan malam ini akan berjaya meningkatkan kutipan dana NPC kepada kira-kira RM150,000 atau lebih tinggi," katanya pada majlis jamuan itu di Kuala Lumpur hari ini.

Tabung Kebajikan Wartawan ditubuhkan kira-kira sedekad yang lepas, hasil sumbangan organisasi korporat, dengan wakil mereka hadir malam ini.

Pada majlis itu, Penyunting Meja Antarabangsa Bernama Rosyatimah Tukimin yang menghidap kanser menerima sumbangan RM2,000 daripada Mokhtar manakala Presiden Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (Pertama) Muharyani Othman menyerahkan sumbangan RM1,000.

Sempena ulang tahun ke-40 Blues Gang, kumpulan yang terkenal dengan irama 'blues' itu memberi persembahan istimewa mengimbau kembali lagu-lagu popular mereka.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS