Most Read
Most Commented
Read more like this

Rafidah kembali pimpin Wanita

8:50pm, RABU : Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Rafidah Aziz memenangi pertandingan Ketua Wanita Umno selepas menewaskan penyandang jawatan Menteri Perpaduan Nasional dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Dr Siti Zaharah Sulaiman.

Rafidah berjaya mendapat majoriti tipis 12 undi dalam satu persaingan yang sengit. Beliau yang dikalahkan oleh Zaharah dalam pemilihan 1996 lalu kini kembali memimpin pergerakan itu.

Rafidah mendapat 341 undi, sementara Zaharah mendapat 329 undi.

Pengerusi tetap pergerakan itu, Tan Sri Aishah Ghani, mengumumkan keputusan itu selepas kiraan kali kedua dibuat.

Jawatan Naib Ketua Wanita dimenangi oleh Datuk Shahrizat Abdul Jalil dengan jumlah 394 undi. Sementara pencabarnya, Ainon Khairiyah Mohd Abbas, mendapat 271 undi.

Abdul Aziz kuasai jawatan timbalan Pemuda

7:45pm, RABU : Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir berjaya menguasai jawatan kedua dalam pergerakan Pemuda Umno selepas menewaskan Zein Isma Ismail.

Abdul Aziz mendapat 421 undi, manakala Zein menerima 241 undi.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Hishammuddin Tun Hussein dipilih sebagai ketua pergerakan itu selepas memenanginya tanpa bertanding.

Cabaran getir merelevankan Umno

5pm, RABU : Isu sama ada Umno akan terus relevan di kalangan orang Melayu hari ini dibangkitkan oleh Ketua Wanita parti itu, Datuk Dr Siti Zaharah Sulaiman.

"Inilah cabaran yang paling getir yang kita perlu terima," katanya ketika berucap dalam majlis perasmian mesyuarat agung wanita pagi tadi.

Beliau juga membangkitkan isu sokongan Melayu terhadap Umno dalam pilihan raya umum.

"Kenapa golongan pengundi Melayu baik di desa atau kota menolak calon Barisan Nasional, terutamanya Umno?" katanya lagi.

Zaharah juga mengiktiraf peristiwa pemecatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, merupakan "dugaan yang amat kuat" dan mempunyai "kesan yang amat mendalam" kepada parti itu.

Wanita: Keputusan diumumkan jam 8:30

7:15pm, RABU : Keputusan pemilihan Ketua Wanita Umno akan diumumkan kira-kira jam 8:30 malam ini. Ada sumber menyebutkan kiraan kali kedua sedang berjalan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Rafidah Aziz dikhabarkan mendahului penyandang jawatan Menteri Perpaduan Nasional dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Dr Siti Zaharah Sulaiman sebanyak 12 undi dalam kiraan kali pertama.

Bagaimanapun, desas-desus ini tidak dapat disahkan. Mesyuarat agung wanita telah ditangguhkan sebentar tadi.

Tindakan tegas pelajar IPT burukkan Umno

6pm, RABU : Seorang perwakilan dari Terengganu, Tengku Zainuddin Tengku Zahid, hari ini menggesa Kementerian Pendidikan mengambil tindakan tegas terhadap pelajar pusat pengajian tinggi yang "membawa kesan buruk" kepada parti itu.

Beliau mengulas kegagalan parti itu mengekalkan negeri itu di tangan Umno. Zainuddin mendakwa kegiatan pelajar ini - seperti program anak angkat bakti siswa, menulis serta mengedar risalah yang propembangkang - menyebabkan "penyakit yang bisa" kepada Umno.

Pemuda perlu tumpu pelajar Tingkatan 5

5:30pm, RABU : Wakil Umno dari Kedah, Ismail Tahir, mencadangkan Pemuda parti itu memberikan tumpuan kepada pelajar-pelajar sekolah, khususnya mereka yang bakal menjadi pengundi pada dalam pilihan raya umum depan.

"Pelajar Tingkatan 5 (usia 17 tahun) sekarang akan menjadi menjadi pengundi pada tahun 2004 (usia 21)," katanya.

Beliau juga mencadangkan agar peruntukan RM1 juta disediakan kepada pergerakan itu untuk menjalankan aktiviti mendekatkan diri dengan masyarakat. Katanya, jumlah itu "dikira murah untuk menjaga maruah Melayu."


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS