Seorang pesara semalam diperintah membayar kos guaman RM119,566 kepada bekas peguamnya selepas memenangi kes berhubung penangkapan dan penahanannya secara salah pada 1997.     

Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam Jamaliah Abd Manap menolak permohonan pesara Dickson Ng Sek Wah dan bekas peguamnya daripada Kamarudin and Partners untuk menyemak kos guaman yang ditetapkan Jamaliah pada 27 Sept berhubung kes yang sama.

Ng berkata Jamaliah yang mendengar kes itu di dalam kamar mengekalkan keputusan asal berhubung kos guaman itu.

"Kedua-dua permohonan saya dan bekas peguam untuk menyemak keputusan asal berhubung kos guaman ditolak. Saya memohon jumlah itu diturunkan tetapi pihak lagi satu (bekas peguam) meminta angka itu dinaikkan," katanya kepada pemberita di Shah Alam semalam.

Ng, 62, memfailkan saman terhadap lapan pegawai polis, termasuk Ketua Polis Negara dan kerajaan pada 2000, mendakwa dia mengalami kecederaan parah semasa tempoh tahanan.

Ng didakwa ditahan untuk soal siasat kerana mengimport sepucuk submesin-gan dari Finland tanpa lesen yang sah.

Ng yang ketika itu bertugas dengan syarikat penghantaran, mendakwa dia hanya membantu syarikat lain untuk mengimport senjata itu sebagai sampel untuk mengambil bahagian dalam tender terbuka oleh Kementerian Dalam Negeri, bagi pihak polis.

Pada November 2010 Mahkamah Tinggi Shah Alam menganugerahkannya ganti rugi RM1.43 juta.

Ng diwakili peguam yang dilantik mahkamah Alan Wong Teck Wei.

- Bernama