Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) hari ini mengumumkan agihan pendapatan 6.45 sen seunit bagi Skim Amanah Saham Nasional (ASN) untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2013, peningkatan 0.15 sen seunit berbanding 6.3 sen seunit yang diagihkan pada tahun lepas.

    

Kadar itu merupakan pengagihan pendapatan tertinggi dalam tempoh 13 tahun, dari 2001 hingga 2013.

Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB) Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata agihan tersebut membabitkan pembayaran sebanyak RM100.27 juta dan memberi manfaat kepada 1.25 juta pemegang unit yang melanggan 1.55 bilion unit ASN.

Beliau berkata peruntukan pembayaran tersebut adalah selaras dengan perkembangan ekonomi dan pasaran saham semasa meskipun persekitaran luar tidak menentu, termasuk krisis hutang negara Eropah yang berpanjangan dan pertumbuhan ekonomi China yang semakin rendah.

    

Ia juga termasuk kebimbangan pelabur terhadap pengumuman penarikan balik dasar pelonggaran kuantitatif oleh Amerika Syarikat, yang memberi kesan tidak langsung ke atas pasaran saham dan nilai mata wang ringgit Malaysia, katanya pada sidang media selepas mengumumkan agihan itu hari ini.

Sehingga 21 Dis 2013, ASN memperoleh pendapatan kasar sebanyak RM128.61 juta.

Daripada jumlah itu, keuntungan jualan saham menyumbangkan sebanyak RM82.59 juta, pendapatan dividen yang diterima daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat sebanyak RM34.67 juta dan lain-lain pendapatan menyumbang RM11.35 juta.

Bagi unjuran 2014, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata prestasi syarikat kumpulan dijangka lebih baik pada tahun hadapan, disokong oleh pertumbuhan syarikat-syarikat di Malaysia yang dipacu oleh pelbagai projek, khususnya berkaitan Program Transformasi Ekonomi.

ASNB merupakan anak syarikat milik penuh PNB yang menguruskan dana unit amanah yang dilancarkannya.

    

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS