Ketika ada usaha pihak tertentu menganjurkan perhimpunan kononnya untuk menggulingkan kerajaan akhir bulan ini, pihak berkuasa disaran tidak lagi menggunakan kaedah 'budi bicara' dalam usaha mengekalkan keamanan negara.

Seorang pengamal undang-undang Noor Hajran Mohd Nor berkata pihak berkuasa sebaliknya perlu bertindak tegas mengikut kuasa yang ada pada mereka.

Beliau berkata sebagaimana kerajaan memberi kebebasan kepada rakyat untuk berhimpun secara aman mengikut Akta Perhimpunan Aman, pihak berkuasa juga mempunyai kuasa menangani sebarang ancaman terhadap rakyat dan negara.

"Ini bukan pertama kali perhimpunan seperti ini (dirancang). Jika pihak berkuasa tidak ambil tindakan, kita risau Malaysia akan jadi seperti beberapa negara lain, termasuk di Timur Tengah," katanya.

Noor Hajran berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam program 'Ruang Bicara' dengan topik 'Tolak Perhimpunan Haram' terbitan Bernama TV di Kuala Lumpur malam tadi, yang dihoskan Sherkawi Jirim dan turut disertai Presiden Yayasan Media Malaysia Dzulkarnain Taib.

Dzulkarnain pula berkata perhimpunan yang dirancang itu jelas bertentangan dengan lunas demokrasi selain dilihat memperalat golongan muda untuk menyertainya.

Beliau berkata pihak penganjur sengaja menggunakan isu tertentu bagi menarik perhatian rakyat walaupun tahu perkara itu boleh dibincang di medan lain seperti Parlimen.

Dalam program itu, seorang pemanggil Abdullah Majid dari Selangor, yang mengakui dirinya penyokong pembangkang, meluahkan pandangan tidak bersetuju dengan penganjuran perhimpunan berkenaan.

Beliau berkata penganjuran perhimpunan itu seolah-olah mempunyai agenda demi kepentingan individu tertentu.

"Saya sensitif apabila mendengar mengenai perhimpunan ini. Jika mereka (penganjur) kata mereka ada hak untuk berhimpun, bagaimana pula dengan hak majoriti rakyat lain yang tidak mahu perhimpunan ini diadakan?" soalnya.

- Bernama