Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPPBSM) mengugut menghentikan operasi sekiranya Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengambil tindakan perundangan ekoran langkah menaikkan tambang bas sekolah sehingga 40 peratus sekarang.

Presidennya Amali Munif Rahmat, berkata walaupun sedar tindakan itu boleh dikenakan kompaun sehingga RM500,000 di bawah Akta Persaingan, mereka tiada pilihan lain untuk menampung kerugian sedia ada, lapor Berita Harian.

“Kenaikan ini hanya untuk menampung semula kerugian berikutan kenaikan harga diesel. Tetapi, sekiranya dikenakan tindakan, kami tidak teragak-agak untuk menghentikan operasi.

“Kami tidak mampu untuk membayar kompaun terbabit, tambahan pula perlu menanggung kerugian sedia ada,” beliau dipetik sebagai berkata kepada harian itu semalam.

Mulai semalam tambang bas sekolah di seluruh negara dinaikkan sehingga 40 peratus, bagi menampung peningkatan kos operasi.

Keadaan itu menjadikan kadar tambang bas sekolah meningkat kepada RM38.70 bagi kilometer pertama berbanding RM27.43 sebelumnya bagi bas sekolah di bandar manakala RM20.61 kepada RM28.85, di luar bandar.

SPAD mengarahkan kadar sedia ada dikekalkan hingga Mac ini.