NGO dakwa pusat hiburan akan cemar Putrajaya
Sayap pemuda PERKASA menuntut agar Perbadanan Putrajaya menghalang pembukaan pusat hiburan Hard Rock Cafe (HRC) di bandar tersebut yang didakwa akan mencemarkan imej pusat pentadbiran berkenaan dengan hidangan arak dan hiburan liar.
Ketua Wira PERKASA Irwan Fahmi Ideris berkata, pihak berkuasa Putrajaya itu perlu menghormati konsep Putrajaya yang dibangunkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan mencontohi pentadbiran kota Madinah.
“Beliau membangunkan masjid sebagai asas pembinaan sebelum dikelilingi bangunan-bangunan lain,” kata Irwan dalam satu kenyataan bersama dengan ketua Wira Wilayah Persekutuan Zukhairi Md Osman.
“Perbadanan Putrajaya juga wajar mempertimbangkan langkah alternatif untuk menarik pelabur dan pelancong, bukan dengan cara mencari keuntungan segera yang bakal merosakkan kesejahteraan dan moral penduduk setempat.
“Pembukaan HRC bukan sahaja bakal menggalakkan keruntuhan moral, tetapi juga tidak bersesuaian dengan fungsi Putrajaya sebagai sebuah pusat pentadbiran kerajaan,” katanya.
Beliau turut menggesa agar MP Putrajaya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor agar mengambil tindakan serupa.
Tambahnya, HRC patut mendapatkan sijil yang mengesahkan status halal premis berkenaan sekiranya tetap mahu membuka cawangan di Putrajaya.
Selain itu, HRC juga perlu menukar konsep dengan memastikan restorannya hanya menyediakan hidangan untuk menjamu selera tanpa minuman keras dan hiburan.
Ketika ditanya, Irwan berkata hotel sedia ada di kawasan Putrajaya sememangnya tidak menyediakan minuman keras dan hiburan.

