Majlis Melayu kutip cebisan Umno?
Umno yang cemas kerana sebahagian besar orang Melayu menolaknya dalam pilihanraya umum lalu nampaknya mencuba pelbagai cara untuk memulihkan kedudukan.
Isu-isu berkenaan orang Melayu termasuk soal hak istimewaan dan ketuanan Melayu kembali digembar-gemburkan oleh pemimpin Umno walaupun mereka tahu ia adalah satu isu perkauman yang sempit.
Matlamat parti Melayu yang semakin terpinggir ini hanya satu - untuk merampas semula kedudukan asal sebagai parti nombor satu orang Melayu daripada PAS. Oleh itu pemimpinnya yang terdesak mencungkil semula isu-isu lama seperti komunis, ajaran sesat, status bumiputera, Dasar Ekonomi Baru (DEB), hak istimewa orang Melayu dan apa sahaja yang difikirkannya dapat menjentik sentimen bangsa.
Kini ditimbulkan ura-ura untuk menubuhkan Majlis Melayu, kononnya sebagai forum membincangkan agenda etnik itu. Gagasan penubuhan majlis ini dicetuskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Rais Yatim.
Menurut beliau, penubuhan majlis itu amat wajar dan boleh disertai oleh golongan intelek, pemimpin, profesional serta individu Melayu tanpa mengira fahaman politik.
Sebagaimana biasa pemimpin Umno, sesuai dengan tugas mereka sebagai 'tukang sokong,' malah ada yang berperanan sebagai "tok ampu," telah berlumba-lumba menyokong gagasan Dr Rais itu. Naib Presiden, Tan Sri Muhammad Mohd Taib berkata, majlis ini boleh menjadi tulang belakang perpaduan Melayu.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Shahrir A Samad yang terkenal dengan kelantangan suara turut mengalu-alukan penubuhan majlis ini. Katanya, ia menunjukkan pemimpin Umno masih bertanggungjawab memikirkan hala tuju orang Melayu.
Ahli akademik, Tan Sri Awang Had Salleh pula menyatakan kegusarannya terhadap sikap sesetengah orang Melayu yang sanggup mengorbankan bangsa untuk mendapatkan kuasa.
Reaksi PAS tidak memeranjatkan
Justeru, kata beliau, Majlis Melayu akan mengingatkan dan menyedarkan bangsa itu tentang pencapaian mereka dan sejauh mana mereka mampu bersaing dengan etnik-etnik lain.
Sementara itu PAS, sesuai dengan peranannya sebagai parti pembangkang, terus membangkang gagasan ini walau belum melihat butir-butir lanjut mengenainya. Presidennya, Datuk Fadzil Mohd Noor menyifatkan cadangan ini sebagai muslihat Umno dan bertujuan menjayakan kepentingan parti pemerintah.
"Ini semua mengarut, Umno sebagai parti Melayu tidak boleh berbuat apa-apa untuk kepentingan orang Melayu," tegas Ketua Pembangkang itu.
Reaksi Fadzil itu tidak memeranjatkan. Kita tidak boleh menuduh beliau sebagai angkuh kerana awal-awal lagi menolak cadangan itu kerana itulah sifat semula jadi orang politik - menolak mentah-mentah cadangan parti lawan tanpa mengira sama ada ia baik atau buruk.
Mungkin kalau cadangan itu dibuat oleh PAS, pemimpin Umno juga akan memberikan reaksi yang sama seperti Fadzil.
Secara kasar, cadangan penubuhan ini nampak unggul dan baik. Ia bertujuan menyatupadukan orang Melayu. Cuma masalahnya sekarang ialah idea itu ditonjolkan oleh orang politik.
Dr Rais adalah orang kuat Umno. Kalau beliau seorang peguam yang tidak memihak pada sebarang parti atau hanya seorang pakar bahasa baku, pasti Fadzil sudah menyambut baik cadangan tersebut.
Kalau syor ini datang daripada tokoh yang terbuka dan bebas seperti Profesor Diraja Ungku Aziz atau Tan Sri Ainuddin Wahid, gagasan Majlis Melayu tentunya tidak dilihat sebagai agenda Umno.
Kini PAS menolaknya dan kemungkinan besar parti pembangkang lain seperti Keadilan dan PRM serta badan-badan bukan kerajaan, pemimpin pelajar, profesional dan cendekiawan Melayu serta orang Melayu marhaen akan turut meragui agenda majlis ini.
Benarkah Melayu percah-belah?
Oleh itu, Dr Rais dan rakan-rakannya yang berjiwa nasionalis perlu berkerja keras untuk menyakinkan orang Melayu tentang keperluan majlis ini.
Kalau majlis ini hanya dianggotai oleh pemimpin-pemimpin Umno, NGO yang prokerajaan dan individu Melayu yang bergantung hidup pada "wang ehsan" dari Umno dan kerajaan, maka matlamat majlis ini untuk menyatupadukan orang Melayu akan gagal.
Kalaulah begitu profil ahli dan penyokong majlis ini, akhirnya ia akan menjadi sebuah lagi kelab Umno. Ia akan menjadi tempat ahli dan pemimpin Umno menyebar gosip, fitnah, melobi dan medan untuk mencari pengaruh politik peribadi.
Bagaimana agenda untuk menyatupadukan orang Melayu dapat dicapai jika pihak-pihak yang kononnya berpecah-belah itu tidak duduk semeja?
Satu lagi persoalannya, sejauh manakah perpaduan Melayu telah tergugat? Benarkah orang Melayu sudah berpecah-belah atau ia hanya sekadar gimik politik Umno?
Persoalan ini timbul kerana rata-rata orang Melayu di peringkat akar umbi tidak merasakan apa-apa kerenggangan atau ketegangan. Ahli PAS, Keadilan, PRM dan Umno di kampung-kampung, kawasan setinggan dan di bandar-bandar hidup aman damai.
Mereka bekerjasama dan masih boleh berbalas-balas senyum walau rumah atau kenderaan masing-masing mengibarkan bendera atau melekatkan stiker parti sokongan tersendiri.
Jadi di manakah orang Melayu yang berpecah-belah itu? Mungkin mereka di Besut (Terengganu) atau Peringat (Kelantan) sehingga berlaku sembahyang dua imam, tetapi ini adalah kes terpencil dan tidak memerlukan satu gagasan besar untuk mengatasinya.
Oleh itu kerelevanan penubuhan majlis itu boleh dipersoalkan. Gembar-gembur perpaduan Melayu tidak lebih daripada satu gimik politik oleh golongan desprado yang semakin kehilangan pengaruh.
Kalau Dr Rais dan pemimpin lain Umno merasakan Majlis Melayu ini dapat menjadi penyelamat parti itu, mereka tersilap besar. Sebaliknya penubuhan majlis ini mungkin memberikan kesan buruk apabila rakyat melihatnya sebagai satu lagi permainan politik parti berkenaan.
PAS mengambil langkah bijak kerana mengelakkan diri daripada memasuki perangkap ini.
Biarkan Umno mengutip sendiri cebisan-cebisan agenda Melayu yang telah dirobeknya sejak lebih 10 tahun lalu.
AMAN RAIS adalah bekas wartawan yang pernah berkhidmat dengan beberapa akhbar arus perdana. Beliau meninggalkan kerjaya sebagai "pelapor berita-berita prokerajaan" dan memilih menjadi penulis bebas bagi mencari wadah perjuangan yang lebih terbuka dan berkesan


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.