Sambutan Tahun Baharu Cina dianggap tidak lengkap sekiranya kediaman atau premis perniagaan tidak dihiasi dengan tanglung dan pokok bunga plum bagi menambah kemeriahan dan memberikan 'ong' atau tuah kepada masyarakat Cina.
Meskipun rakyat berhadapan dengan pelbagai kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang tinggi pada tahun ini, namun tinjauan Bernama di sekitar Jalan Sultan dan Jalan Petaling di Kuala Lumpur mendapati kebanyakan peniaga masih mengekalkan harga barang persiapan Tahun Baharu Cina seperti tahun-tahun sebelumnya.
Rata-rata peniaga berpendapat adalah lebih baik bagi mereka memulakan penjualan barang perhiasan di pasaran seawal Disember lepas, walaupun sambutan kali ini dikenali Tahun Kuda jatuh pada 31 Jan bagi mengelakkan kekurangan stok.
Pemilik M&K Party House di sini, Matthew Tan berkata pihaknya masih menawarkan harga yang begitu rendah kerana mereka merupakan pemborong bagi barang-barang perhiasan itu.
"Contohnya, kami menjual tanglung nanas yang diimport dari China dari harga semurah RM1.40 hingga kira-kira RM40 mengikut saiz pada setiap tahun," katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur hari ini.
"Walaupun ada pelanggan yang datang risau terhadap peniaga-peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan, namun kami masih menawarkan harga berpatutan dan tidak menaikkannya dengan sewenang-wenang," katanya.
Pengurus kedai Nan Thong Gift & Decor Sdn Bhd, Hanson Saw berkata pihaknya tidak putus-putus menerima tempahan pelanggan dalam kuantiti yang banyak sejak mula menjual barangan tersebut seawal Disember lepas.
"Mereka lebih gemar membeli lampu perhiasan dalam kuantiti banyak kerana dijual sekitar RM15 satu set sehinggakan kami kehabisan stok dan terpaksa menempahnya daripada pemborong.
"Walaupun kos sara hidup semakin tinggi pada tahun ini, namun sesetengah pelanggan sanggup berbelanja lebih dan tidak kisah terhadap harga kerana menyifatkan Tahun Baharu Cina merupakan sambutan terbesar yang hanya disambut sekali dalam setahun," katanya.
Suri Rumah, Chong Mei Ling, 46, dari Jalan Klang Lama, berkata memandangkan harga barang perhiasan rumah untuk sambutan Tahun Baharu Cina tidak naik, beliau mengambil kesempatan membelinya dalam kuantiti yang banyak.
- Bernama
