Seorang anggota polis memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa kenderaan yang dipandunya ditendang dan dibaling pelbagai objek keras oleh orang ramai yang dipercayai peserta perhimpunan Bersih 3.0, dua tahun lepas.

    

Koperal Hairul Nizam Md Nor berkata beliau diserang peserta Bersih 3.0 pada 28 April 2012 di depan Kompleks Pertama ketika dalam perjalanan untuk mengambil seorang pegawai di kompleks beli-belah Sogo.

    

"Saya menerima panggilan daripada Inspektor Hatta yang merupakan Ketua Operasi di bangunan Sogo untuk mengambilnya, dan ketika dalam perjalanan bersama Lans Koperal Tarmiji, kenderaan kami dibaling dengan objek keras antaranya batu, botol air mineral dan batu bata," katanya.

    

Beliau berkata demikian ketika disoal peguam Shaiful Nizam Shahrin, yang mewakili kerajaan Malaysia, pada perbicaraan kes saman terhadap Pengerusi Bersih 3.0 Datuk S Ambiga dan 14 yang lain kerana gagal mengawal perhimpunan yang dianjur pada 28 April 2012 sehingga menyebabkan kerosakan harta benda.

    

Hairul Nizam, yang bertugas sebagai pemandu di Cawangan Trafik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, turut memaklumkan kenderaan Nissan X-Trail yang dipandunya dalam Ops Aman 3/2012 semasa perhimpunan itu mengalami kerosakan seperti kemek, cermin di bahagian kiri tempat duduk depan dan belakang pecah selain antena patah.

Saksi pertama plaintif itu berkata bagi mengelak kejadian lebih buruk ke atas kenderaan itu serta menyelamatkan dirinya, beliau berpatah balik ke Jalan Esfahan dan menuju ke Jalan Raja Laut.

    

"Sepanjang perjalanan menuju Jalan Raja Laut, kenderaan pasukan terus dibaling dan ditendang oleh peserta perhimpunan itu, saya kemudian berhenti di Jalan Sultan Ismail bersama anggota trafik lain yang memberi bantuan.

    

"Seterusnya saya dan anggota trafik itu berkumpul di Dataran Merdeka dan diberi arahan untuk terus berada di sana sehingga keadaan kembali reda," katanya yang tidak bersetuju dengan cadangan peguam Sheila Lingam, yang mewakili tiga daripada 15 defendan, bahawa polis merupakan penyebab perhimpunan itu tidak aman.

    

Pada 15 Mei 2012, kerajaan memfailkan saman terhadap Ambiga, Maria Chin Abdullah, Zaid Kamarudin, K.Arumugam, S. Arul Prakkash, Dr Wong Chin Huat, Dr Ahmad Farouk Musa, Dr Toh Kin Woon, Andrew Khoo, Yeo Yang Poh, Ahmad Shukiri Che Ab Razab, Hishamuddin Md Rais, Liau Kok Fah, S.P.Subramaniam dan Abdul Samad Mohamed Said.

    

Selain ganti rugi am dan ganti rugi khas, kerajaan memohon deklarasi bahawa defendan, sebagai penganjur Bersih 3.0, melanggar Seksyen 6(2)(g) AktaPerhimpunan Aman 2012, adalah bertanggungjawab. antara lain, untuk memastikan ia tidak akan merosakkan harta benda awam.

    

Perbicaraan di depan Hakim Datuk John Louis O'Hara bersambung esok.

    

-Bernama