Lim: Kabinet 2014 mesti hentikan danai PERKASA
Penasihat DAP Lim Kit Siang menganggap kerajaan Malaysia 'berjaya' melemahkan kempen 1Malaysia ciptaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan mendanai NGO PERKASA.
Beliau berkata, ini dapat dilihat menerusi perjalanan kempen pilihan raya umum sebelum ini yang memperlihatkan kumpulan pendesak Melayu itu memainkan peranan penting meraih undi untuk Umno.
"Diakui bahawa kempen PERKASA menentang kempen 1Malaysia dengan sokongan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berjaya, kerana dalam tempoh tujuh bulan selepas pilihan raya umum ke-13 pada 5 Mei 2013, Najib masih belum mengulangi dasar 1Malaysia yang menjadi kegemarannya dalam mana-mana platform awam,” katanya.
Katanya, walaupun meneruskan gimik seperti Kedai Rakyat 1Malaysia dan Klinik 1Malaysia, Najib mengelak merujuk kepada objektif 1Malaysia untuk mewujudkan masyarakat yang menganggap diri mereka sebagai rakyat Malaysia terlebih dahulu.
Disember lalu, Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad mendedahkan, PERKASA banyak menerima dana daripada agensi kerajaan untuk menjalankan program mereka.
PERKASA turut mengakui mendapat bantuan daripada tiga agensi kerajaan – Majlis Keselamatan Negara (MKN); Biro Tata Negara (BTN) dan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang membiayai programnya.
Justeru, Lim berkata, kabinet perlu bermesyuarat minggu ini untuk menghentikan dana kepada PERKASA kerana “mensabotaj polisi kegemaran” Najib.
"Kabinet dalam mesyuarat pertama tahun baru perlu menilai perkara pemberian dana kepada PERKASA dalam menentukan siapa yang telah mensabotaj kempen polisi 1Malaysia dan Pergerakan Moderat Sedunia oleh Najib.
"Atau adakan Najib sendiri sedar perkara ini dan telah mensabotaj polisi terkenal beliau sendiri?" soal Lim lagi.

