Naib Presiden: Najib, Muhammad Taib, Muhyiddin

9:15pm, KHA :Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak, mendapat 1289 undi, bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Mohd Taib mendapat 853 dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Tan Sri Muhyiddin Yassin mendapat 813 undi.

Berikut nama anggota Majlis Tertinggi (* muka baru dipilih)

1. Datuk Wira Mohd Ali Rustam

2. Datuk Mustapa Mohamed

3. Datuk Tajol Rosli Ghazali

4. Datuk Ahmad Zahid Hamidi*

5. Datuk Mohd Nazri Aziz

6. Datuk Dr Mohd Hamid Othman

7. Datuk Shafie Apdal

8. Datuk Dr Jamaluddin Jarjis*

9. Datuk Aziz Shamsuddin*

10. Datuk Annuar Musa*

11. Datuk Azmi Khalid*

12. Datuk Abdul Azim Mohd Zabidi*

13. Datuk Dr Yusof Noor

14. Datuk Shahrir Abdul Samad*

15. Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir

16. Datuk Seri Adnan Yaakob

17. Datuk Seri Dr Suleiman Mohamed

18. Datuk Dr Shafie Salleh*

19. Datuk Salleh Tun Said Keruak

20. Datuk Khalid Yunus

21. Datuk Hassan Harun*

22. Datuk Lajim Ukim*

23. Tan Sri Ramli Ngah Talib

24. Datuk Hassan Ariffin

25. Datuk Dr Helmi Yahya*

Perbahasan hambar dan 'mengampu', ulas wartawan

8:45pm, KHA : Wartawan-wartawan yang membuat liputan persidangan Umno kali ini merumuskan isu-isu dibahaskan secara hambar sahaja. Perwakilan masih lagi menafikan kemerosotan pengaruh Umno, dan sebaliknya menuduh parti pembangkang atau faktor-faktor lain.

Mereka juga masih tidak bersedia mengkritik pucuk pimpinan, sebaliknya mempertahankan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

Seorang wartawan kanan yang bertugas dengan sebuah media arus perdana berkata, perbahasan kali ini tidak menarik berbanding tahun-tahun sebelumnya. Wartawan-wartawan bersetuju ucapan para perwakilan tersirat tujuan untuk "mengampu".

'Kumpulan Wawasan' kembali kuasai Naib Presiden

7:20pm, KHA : Menteri Pertahanan Datuk Seri Najib Tun Razak, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Mohd Taib memenangi jawatan Naib Presiden, kata satu sumber tidak rasmi.

Mereka bertiga yang dikenali "Kumpulan Wawasan" pernah bersama menguasai jawatan itu pada 1993 ketika bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memenangi jawatan Timbalan Presiden.

Malaysiakini akan mengesahkan keputusan ini kemudian.

Najib dapat undi terbanyak

6:30pm, KHA : Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak petang ini sedang menerajui jumlah undi bagi jawatan Naib Presiden Umno, menurut satu sumber tidak rasmi.

Sementara dua lagi nama belum dapat ditentukan daripada sembilan calon bertanding untuk jawatan ini.

Keputusan rasmi akan diketahui sepenuhnya antara jam 9 atau 10 malam ini.

Pengiraan undi juga dijalankan untuk pemilihan 25 anggota Majlis Tertinggi daripada 63 calon yang bertanding.

Najib dapat undi terbanyak

6:30pm, KHA : Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak petang ini sedang menerajui jumlah undi bagi jawatan Naib Presiden Umno, menurut satu sumber tidak rasmi.

Sementara dua lagi nama belum dapat ditentukan daripada sembilan calon bertanding untuk jawatan ini.

Keputusan rasmi akan diketahui sepenuhnya antara jam 9 atau 10 malam ini.

Pengiraan undi juga dijalankan untuk pemilihan 25 anggota Majlis Tertinggi daripada 63 calon yang bertanding.

Kempen senyap itu wang, kata Rais

4:30pm, KHA : Seorang calon Naib Presiden, Datuk Dr Rais Yatim, mendakwa sebarang kempen yang dilakukan secara 'senyap-sunyi' itu melibatkan politik wang.

Beliau bagaimanapun berkata langkah melarang kempen secara besar-besaran seperti sebelum ini tidak menghalang perkembangan demokrasi dalam Umno. Langkah seperti ini sewajarnya diteruskan lagi akan datang, katanya.

Rais memberitahu malaysiakini demikian apabila ditanya langkah-langkah yang terlalu ketat diambil oleh parti itu sehingga kempen untuk pemilihan kali ini menjadi 'senyap-sunyi.'

Pengiraan baru bermula

3:45pm, KHA : Peti-peti undi sedang dikeluarkan dari Dewan Merdeka di aras empat ke sebuah bilik di aras satu untuk dikira bermula jam 3:35 petang tadi. Keputusan dijangkakan seawal-awalnya malam ini.

Pengundian tamat jam 4

3:15pm, KHA : Proses membuang undi dijangkakan tamat selewat-lewatnya jam 4 petang ini. Jawatankuasa pemilihan kali ini memilih cara baru dengan memanggil bahagian demi bahagian membuang undi. Seramai 2,018 perwakilan daripada 165 bahagian seluruh negara, kecuali Sarawak, terlibat dalam pengundian.

Najib, Ghani dalam ramalan

3pm, KHA : Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman disebut-sebut akan memenangi jawatan Naib Presiden.

Selain itu, nama Menteri Besar Selangor Datuk Seri Abu Hassan Omar, bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Mohd Taib dan Datuk Seri Osu Sukam juga disebut-sebut akan mengisi satu lagi kedudukan bagi tiga orang Naib Presiden.

Najib dan Muhammad yang merupakan penyandang jawatan itu dipilih pada 1996.

Pengundian Naib Presiden sedang dijalankan

2:30pm, KHA : Semua pemilihan untuk jawatan Naib Presiden dan anggota Majlis Tertinggi Umno sedang berjalan sekarang, mulai jam 1:30 tengah hari.

Seramai lebih 2,000 perwakilan dari seluruh negara akan memilih tiga Naib Presiden daripada sembilan calon dan 25 MT daripada 63 calon yang bertanding.

Pengundian dijangkakan berjalan selama tiga jam.

Jurufoto protes dinafi masuk dewan

2:15pm, KHA : Jurugambar tengah hari tadi membantah apabila mereka tidak dibenarkan memasuki tempat pembuangan undi di Dewan Merdeka.

Mereka saling mengambil foto diri sendiri dan rakan jurugambar di depan pintu masuk dewan di aras empat Bangunan PWTC.

Semalam, jurugambar media arus perdana itu dibenarkan memasuki dewan tempat pembuangan undi bagi pemilihan Pemuda dan Wanita.