Ismail: RM10 juta untuk pertanian rosak akibat banjir
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan mengagih bantuan RM8.5 juta kepada petani, penternak dan pengusaha industri asas tani di Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan yang terjejas akibat banjir pada Disember lepas, tidak lama lagi.
Menteri berkenaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bantuan itu adalah sebahagian daripada RM10 juta yang diperuntukkan kementerian bagi meringankan beban dan kerugian mereka yang terlibat, dan bakinya akan disalurkan kepada mangsa di Sarawak.
"Namun, jumlah kerugian mangsa banjir di Sarawak baru-baru ini masih belum dipastikan. Kita akan umumkan angkanya kemudian," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.
Ismail Sabri berkata berdasarkan bancian kementerian, kerugian yang dialami di Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan ialah RM46.1 juta yang melibatkan seramai 4,632 petani, penternak dan pengusaha industri asas tani.
Katanya kadar bantuan yang diberikan berbeza mengikut hasil pertanian seperti tanaman padi, buah-buahan, sayur-sayuran, haiwan ternakan dan akuakultur serta industri asas tani, yang akan diagihkan dalam masa dua minggu lagi.
"Bantuan ini akan diagihkan terus secara tunai kepada mereka yang telah mengemukakan maklumat... mereka boleh menuntut wang itu di pejabat pertanian daerah masing-masing," katanya.
Kadar bantuan untuk tanaman padi yang belum dituai ialah RM1,800 sehektar, penanaman semula padi (RM876 sehektar), sayur-sayuran (maksimum RM2,000 sehektar) dan buah-buahan (maksimum RM1,000 sehektar).
Bantuan ternakan kerbau sebanyak RM700 seekor (maksimum 10 ekor), lembu dan rusa (RM600 seekor,maksimum 10 ekor), kambing dan bebiri (RM150 seekor, maksimum 20 ekor); ayam dan itik (RM5 seekor, maksimum 100 ekor) dan puyuh (RM2 seekor,maksimum 200 ekor).
Bagi pengusaha akuakultur kolam komersil, kadar bantuan sebanyak RM1,500 sehektar untuk maksimum 2 hektar, kolam kecil (RM1,500 sehektar, maksimum 1 hektar), sangkar RM200 sepetak (maksimum 12 petak), hatcheri (tempat penetasan) RM3,000 setiap hatcheri (maksimum satu hatcheri) dan bantuan RM1,000 kepada setiap pengusaha industri asas tani.
-Bernama

