Selangor mencadangkan pelantikan dua orang pentadbir syarikat konsesi air bagi menguruskan perjalanan syarikat itu sebagai syarat untuk kerjasama penuh dengan Pusat jika pengambilalihan berlaku menerusi akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA).

Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, mereka mencadangkan dua nama kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), termasuk Ketua Pegawai Eksekutif MBI yang juga bekas setiausaha politiknya Faekah Husin.

Turut dicadangkan Presiden Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) Suhaimi Kamarulzaman.

Menurut beliau, pelantikan Faekah dan Suhaimi bertujuan melicinkan pentadbiran syarikat konsesi air di samping membantu implementasi projek melibatkan perkhidmatan air seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Kerajaan negeri secara dasarnya bersetuju untuk pelaksanaan pembinaan Loji Air Langat 2 dan kedua-dua pentadbir dipertanggungjawab untuk merealisaikannya.

“Perkara-perkara yang disebut di sini telah pun diperincikan kepada menteri secara rasmi melalui surat yang telah saya hantar pagi ini," kata beliau dalam sidang media selepas mesyuarat exco di Shah Alam hari ini.

Khalid berkata kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan Pusat yang merancang mengambil alih empat syarikat konsesi air iaitu setelah rundingan dengan tawaran RM9.65 bilion untuk mengambil ekuiti syarikat konsesi air berkenaan gagal.

Syarikat itu, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd, Konsortium Abbas Sdn Bhd, Puncak Niaga Sdn Bhd dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Bhd.

Khalid menambah kegagalan tersebut berpunca dari jangkaan tidak realistik di kalangan pemegang saham terhadap nilai ketara pegangan ekuiti mereka dalam syarikat konsesi air di Selangor.

"Kementerian (Tenaga, Teknologi Hijau dan Air) melalui surat bertarikh 9 September 2013 telah menyatakan hasrat untuk mengambil alih hal ehwal dan pengurusan air mengguna pakai Seksyen 114 WSIA - jika tiada penyelesaian pada 31 Disember 2013.

"Sehubungan dengan itu, saya telah berbincang dengan menteri Datuk Seri Dr Maximus Ongkili semalam dan bersetuju untuk memberi kerjasama penuh kepada kementerian dan kerajaan Pusat mengguna pakai Seksyen 114 ," kata beliau.