PAS hari ini menyifatkan kejayaannya dalam pilihan raya umum November lalu sebagai satu lonjakan untuk memimpin arus baru perubahan di negara ini. Parti Islam itu yakin kejayaannya hanya boleh dicapai melalui pakatan pembangkang.

"Gelombang ketiga gerakan Islam meletakkan PAS dalam kedudukan arus perdana (centre stage) kepimpinan gerakan massa," kata Presidennya, Datuk Fadzil Mohd Noor dalam ucapan dasar Muktamar PAS ke-46 pagi ini.

Katanya, berdasarkan kedudukan kaum Melayu-Islam dan pecahan kaum-kaum di setiap negeri, adalah tidak wajar untuk mengharapkan "PAS dengan secara bersendirian untuk memenangi pilihan raya di peringkat Persekutuan."

"Bahkan (PAS juga sukar memenangi) beberapa negeri di Pantai Barat (Semenanjung)," kata Fadzil.

Dalam ucapan bertajuk 'PAS Memimpin Perpaduan', Fadzil menggariskan tujuh faktor yang perlu untuk kejayaan partinya dan pakatan pembangkang.

PAS juga mendedahkan faktor utama untuk memastikan kejayaan seterusnya parti Islam itu dan pakatan Barisan Alternatif.

Faktor itu termasuklah gaya kepimpinan yang telus serta terbuka, manifesto yang responsif kepada realiti baru, BA hendaklah dijadikan alternatif yang 'superior' (hebat) daripada Barisan Nasional dan kemantapan program penerangan berasaskan teknologi maklumat.

"Pembinaan perkara-perkara (faktor kejayaan) berikut dalam mengharungi masa depan PAS dan BA dalah kritikal untuk kelangsungan survival-nya," kata Ketua Pembangkang itu.

Fadzil melihat masa depan PAS dalam tempoh lima tahun akan datang sebagai paling mencabar untuk "membuka seluas-luasnya pintu kemenangan."

"Saya menjangkakan lima tahun mendatang ini adalah tahun-tahun paling mencabar bagi PAS," katanya.

Fadzil menyifatkan partinya satu-satunya parti yang berjaya meneruskan gabungan penyatuan ulama dan golongan profesional yang kukuh.

"Kemunculan insan profesional dalam parti membuka lembaran baru kepada matlamat memperkasakan PAS sebagai parti arus perdana," tambahnya.