Hong Leong Bank Berhad menafikan dakwaan bahawa bank tersebut menghalang anggota Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) menunaikan solat di cawangannya di Kelantan dan Kuantan.

 

Kenyataan bank tersebut, yang dipetik dalam satu laporan Bernama menggariskan alasan bahawa surau di premis berkenaan terletak di kawasan keselamatan yang tidak boleh dimasuki oleh individu yang bukan kakitangan di cawangan terbabit.

“Anggota NUBE terbabit bukan kakitangan di cawangan berkenaan, oleh itu tidak mempunyai akses ke kawasan keselamatan menempatkan surau dan peti besi utama.

“Ini adalah dasar keselamatan mengikut piawai di semua institusi kewangan, di mana tiada sesiapapun kecuali kakitangan cawangan tersebut yang dibenarkan memasuki kawasan keselamatan,” lapor Bernama.

Bank itu juga menegaskan bahawa kesemua kakitangan Islam sentiasa dibenarkan untuk menunaikan solat tanpa prejudis atau campurtangan.

Malah, bank menghormati amalan agama dan kebebasan kakitangan untuk mengamakan fahaman tersebut, lapor Bernama lagi.

Kenyataan itu timbul susulan dakwaan NUBE bahawa larangan untuk menunaikan solat itu menafikan hak orang Islam.

Timbalan presidennya, Abdul Jamil Jalaudden dalam satu laporan Utusan Malaysia hari ini mendakwa tindakan berkenaan akan mendorong syarikat perbankan lain melakukan penindasan serupa.

"Jika kita membenarkan seorang Ketua Pegawai Eksekutif dari Singapura untuk terus menindas serta menidakkan hak umat Islam untuk beribadat, perkara itu adalah salah.

"Tambahan pula, Hong Leong sendiri menjalankan konsep perbankan Islam dan memiliki jabatan syariah serta mempunyai sebahagian besar pegawai beragama Islam," katanya seperti dipetik dalam laporan itu.

Menurut maklumat di laman Facebook NUBE, kesatuan sekerja itu turut mengadakan piket ke atas Hong Leong Bank bagi membantah tindakan tersebut.