BSM: Alkitab tak sampai jika KDN tak benar
dikemaskini Persatuan Bible Malaysia (BSM) menggesa supaya Penyelesaian 10 Perkara yang dirangka kerajaan dihormati supaya kemelut selepas rampasan Bible berbahasa Melayu dan Iban oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) baru-baru ini dapat diselesaikan.
"Saya mahu letakkan dalam rekod yang 10 perkara itu tidak pernah dicabuli oleh kerajaan Persekutuan.
"Masalah ini sekarang adalah masalah kerajaan negeri dan saya harap kerajaan negeri akan cari penyelesaian terhadap isu ini," kata Pengerusi Lee Min Choon pada sidang media di perkarangan pejabat JAIS di Shah Alam hari ini.
Beliau sebelum itu memberi keterangan kepada JAIS selama kira-kira dua jam berhubung rampasan lebih 300 Bible di pejabatnya di Petaling Jaya sebelum ini.
Bercakap lanjut, Lee menegaskan bahawa kontroversi ekoran rampasan itu tidak akan timbul jika kerajaan negeri mengambil teladan daripada kerajaan Persekutuan yang membenarkan Bible dengan nama Allah itu digunakan.
"Fakta yang Bible itu berada di sini (Selangor) adalah kerana kementerian telah memberikannya kepada kami.
"Ia tak akan sampai ke sini kalau KDN (Kementerian Dalam Negeri) tidak membenarkannya," katanya.
'Kerajaan sedia maklum'
Menurutnya, beliau yakin KDN sedar akan undang-undang peringkat negeri yang melarang penggunaan kalimah 'Allah' sewaktu merangka 10 Perkara itu.
Malah, katanya, kerajaan Persekutuan juga sedia maklum Bible yang dikenali sebagai AlKitab itu mengandungi nama Allah.
"Identiti kitab yang disebut dalam 10 Perkara itu adalah Alkitab yang mengandungi kalimah 'Allah'.
"Jadi, kerajaan Persekutuan sudah sedia maklum tentangnya," kata Lee.
Beliau bersama pengurus pejabat BSM, Sinclair Wong dan setiausaha agung BSM, Simon Wong hadir ke pejabat JAIS pagi tadi kerana disiasat di bawah Enakmen Bukan Islam Selangor (Pengawalan perkembangan terhadap Orang Islam) 1988.
Mereka turut ditemani Vincent Wong Wai Sang yang merupakan setiausaha politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup.
Sementara itu, kira-kira 150 orang yang dikenali sebagai Sekretariat NGO Selangor berarak dari masjid negeri ke pejabat JAIS selepas solat Jumaat bagi menyampaikan nota sokongan terhadap rampasan Bible sebelum ini.
Pengerusi sekretariat, Datuk Jamal Md Yunos menggesa menteri besar agar tegas dalam isu itu walaupun kerajaan Persekutuan membenarkan Bible berbahasa Melayu diedarkan.
Menurutnya, kebenaran itu adalah untuk negeri "yang tiada peraturan agama sahaja".
"Kita faham KDN ada meluluskan Bible dalam beberapa bahasa tetapi kelulusan ini adalah untuk negeri yang tiada peraturan agama," katanya.

