Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong mendakwa beliau dan peguamnya belum menerima surat daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS), yang dikatakan mengesahkan Datuk Teo Chee Kang sebagai presiden Parti Liberal Demokratik (LDP).

    

Liew berkata beliau mengarahkan peguamnya meminta ROS memberi satu salinan surat berkenaan sejak minggu lepas namun sehingga kini, belum menerima apa-apa dokumen berkaitan pemilihan Teo sebagai Presiden LDP.

    

"Akhbar tempatan pada 8 Januari 2014 melaporkan bahawa ROS membuat kenyataan akhbar berhubung surat bertarikh 2 Januari 2014, yang kononnya antara lain mengesahkan Datuk Teo Chee Kang sebagai presiden LDP.

    

"Menurut laporan akhbar, ROS akan menghantar surat berkenaan kepada saya tidak lama lagi," katanya.

    

Liew juga berkata beliau secara serius meragui perkara itu dan mengarahkan peguamnya menghantar surat kepada ROS memohon, antara lain, pengesahan bertulis sama ada ROS benar-benar membuat kenyataan akhbar pada 8 Januari 2014.

    

Jika surat itu wujud, Liew berkata beliau akan menghargai sekiranya Teo memanjangkan satu salinan kepadanya agar beliau boleh membuat keputusan.   

- Bernama