Zul Noordin: 'God' Tuhan, bukan Allah
Dalam kehangatan debat berhubung penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian, Naib presiden PERKASA Datuk Zulkifli Noordin tampil menegaskan semuanya bermula dengan masalah penterjemahan Bible.
Beliau berhujah, berlaku kesilapan menterjemahkan perkataan “God” sebagai Allah dan bukannya Tuhan kerana “Allah bukan Tuhan yang mana perintah dan ajaran-Nya mereka ikut.”
"Sebaliknya Allah bagi pendakyah kristian hanyalah perkataan yang diguna untuk menterjemah perkataan 'God', itu pun dalam keadaan yang salah dari segi bahasa mahupun linguistik," katanya.
Menulis dalam blognya, Zulkifli memetik sepotong ayat dalam Bible yang merakamkan dialog Jesus ketika disalib, iaitu: " My God, my God, why have thy forsaken me ".
Menurut beliau, apabila diterjemahkan ke bahasa Melayu versi Indonesia, ia berbunyi: "Allahku, Allahku, mengapa Kau tinggalkan aku.”.
"Bermakna apa yang berlaku ialah pendakyah Kristian, sama ada secara sengaja atau kerana kejahilan, telah salah menterjemahkan perkataan God kepada Allah.
"Jadi tidak timbul soal pelarangan penggunaan perkataan Allah terhadap pendakyah kristian merupakan satu sekatan atau pencabulan terhadap kebebasan beragama bagi penganut Kristian.
"Ini kerana mereka masih bebas untuk menganut dan mengamalkan agama mereka termasuk dalam soal ketuhanan," katanya.

