MB S'gor nafi gugur Azmin dari PKNS
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata keputusan untuk tidak memperbaharui kontrak Azmin Ali sebagai ahli lembaga pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bukan keputusan beliau mahupun exco negeri.
Sebaliknya, tegas beliau, ia adalah arahan Pengurus Besar PKNS, Othman Omar yang bakal menamatkan khidmat pada hujung bulan ini.
Khalid berkata kerajaan negeri akan mengeluarkan dokumen berkaitan termasuk surat bertarikh 4 Disember lalu itu dalam masa dua minggu kerana ia masih dibawah Akta Rahsia Rasmi
"Keputusan bukan dibuat exco, ia dibuat pengurus besar PKNS dan bukan parti politik.
"Surat (gugur) itu diberikan Pengurus Besar kepada Azmin dan dilampirkan kepada exco. Azmin terima, jadi kami sebagai exco terima," kata beliau dalam sidang media selepas mesyuarat exco hari ini.
PKNS ulas selepas mesyuarat
Sementara itu PKNS ketika dihubungi Malaysiakini hari ini enggan mengulas lanjut berhubung isu itu buat masa ini.
Pegawai perhubungan awamnya Ishak Hashim berkata, ia sebaliknya akan dijawab melalui kenyataan media selepas mesyuarat anak syarikat Selangor itu pada 20 Januari akan datang.
"Isu itu banyak pihak telah bertanya, banyak soalan, jadi PKNS tidak mahu menjawab soalan yang banyak itu.
"Cukup kita akan jawab sekali saja melalui kenyataan media yang akan kita hantar nanti selepas mengadakan mesyuarat PKNS yang akan dipengerusikan oleh Tan Sri Khalid Ibrahim," katanya.

