ULASAN Telefon berdering buat sekian kalinya dalam masa sebulan selepas kempen 'Buy a Brick' (Beli bata) dilancarkan. Suara yang kedengaran agak gementar berada di hujung talian.
"Hai, ini Lynn, yang jaga kempen beli bata..."
“OK, heo! Saya tak pasti macam mana nak cakap tapi saya ini belajar di Perak. Saya nak beli bata tapi saya taklah kaya. Saya tak ada duit tapi saya rasa saya hendak beli bata ini juga."
Saya tergamam dan tidak tahu apa yang boleh diucapkan. Pemanggil tersebut baru sahaja berusia 22 tahun.
Dia memberitahu saya yang dia belajar dan bekerja separuh masa untuk mengumpul duit bagi membeli bata, dan dia memerlukan sedikit lagi masa.
"Saya dah kumpul RM700. Awak tunggu saya, OK."
Saya berjanji untuk menunggunya. Saya meletak gagang telefon untuk menyapu linangan air mata kegembiraan yang mula bercucuran.
Peristiwa begini mengingatkan saya yang Malaysiakini bukan milik kami. Ia milik orang ramai.
Sewaktu memulakan kempen ini dengan penuh semangat, kami hanya memikirkan tentang berpindah ke tempat baru untuk membantu kami mengembangkan operasi Malaysiakini .
Namun, kami sama sekali tidak menjangka yang kempen ini memberikan kami peluang untuk memahami sentimen orang ramai terhadap Malaysia.
Kami sama sekali tidak bersedia untuk berhadapan dengan perkara ini.
Pada 15 November 2013 - hari pertama kami melancarkan kempen ini - RM22,000 dana mencurah masuk dan kami berjaya mengisi lebih 50 borang janji untuk menderma.
Hari ini kami ada lebih 600 yang tampil ke hadapan dan membantu kempen ini.
Bagaimana pun, kemilau sebenar di sebalik kempen ini terpancar dalam setiap cerita penderma yang tampil ke hadapan untuk membantu.
Tempat yang terbaik
Kami menerima emel dari seorang lelaki yang telah uzur yang bertanya sama ada nama arwah bapa dan juga ibu mertuanya boleh diukir pada bata yang dibeli. Saya lantas memberikan jaminan kepadanya bahawa ia tidak menjadi masalah. Kemudiannya beliau membalas, "Saya mahu mereka (arwah) akan diingati di tempat yang baik dan Malaysiakini adalah tempat yang terbaik."
Kami didatangi seorang warga emas yang tidak mampu menaiki tangga pejabat kami, tetapi beliau menggagahkan dirinya untuk datang ke pejabat kami dan menandatangani cek untuk membeli “Bata”.
Beliau yang berpakaian kemas dengan gaya tahun 70-an telah berkata, "Ini adalah tempat yang menakutkan untuk bekerja, tempat ini amat berbahaya dan anda semua perlu bekerja di tempat yang jauh lebih baik...". Beliau mengakui bahawa dia tidak membaca laporan berita selain, kecuali di Malaysiakini sahaja.
Sebelum meninggalkan kami beliau berkata, "Jangan bimbang, kamu
akan mendapat wang yang anda cari (untuk membina @Kini) kerana orang ramai pasti akan membantu anda."
Memang benar. Sokongan daripada orang ramai adalah amat kuat dan sangat jelas. Kami menerima empat tajaan organisasi korporat yang membuat tajaan yang besar. Hampir 70 peratus daripada dana yang diperolehi adalah daripada individu dari seluruh dunia. Rakyat Malaysia di Jerman, Sweden, Australia, Singapura, Jepun, United Kingdom, Amerika Syarikat, dan India turut menyokong perjuangan
Beberapa pembeli Bata amat teruja dengan kempen ini. Mereka datang ke pejabat kami tanpa memberitahu akan kehadiran mereka dan bergambar dengan bata yang telah mereka taja. Kami juga amat gembira menerima lawatan daripada pembeli Bata kami di pejabat. Walau bagaimanapun, lawatan itu sentiasa berakhir dengan cara yang sama.
Seorang pembeli Bata datang ke pejabat kami dengan anaknya. Kedua-dua mereka, terutamanya si bapa, begitu teruja ketika berada di dalam premis Malaysiakini.
"Saya seorang peminat setia," ujarnya berkali-kali. "Saya mahukan
anak-anak saya memahami pentingnya peranan menjadi media bebas... Saya membeli bata untuk setiap seorang daripada mereka."
Akan tetapi, keterujaan mereka perlahan-lahan bertukar. Separuh daripadanya tergamam dan akhirnya memahami mengapa memiliki pusat operasi yang baru itu amat penting bagi kami dan dan inilah yang terpancul dari separuh dari mereka, "Saya seperti tak boleh percaya yang anda semua bekerja seperti ini, di tempat yang begitu sempit... dan semua berita-berita penting itu... datang dari sini?"
Ia tidaklah seteruk itu, saya memberitahu mereka. Kami adalah sebuah keluarga yang amat rapat. Apabila wujud keharmonian di dalam keluarga, maka segala yang buruk itu akan berlalu.
Tetapi melalui kempen ini, Malaysiakini menyedari bahawa kekeluargaan itu melewati batasan dinding pejabat kami. Ia termasuk orang ramai yang bergantung sepenuhnya kepada apa yang mereka percaya sebagai kebenaran. Kami faham bahawa tugas kita tiada ada sebarang kaitan dengan survival kami, tetapi bagi memelihara percayaan awam kepada kami.
Tepat tengah malam
Kami melihatnya daripada semua surat dan ratusan panggilan telefon yang kami terima. Seorang penyokong menulis," Terima kasih banyak kerana menunaikan permintaan dengan begitu cekap dan nota indah anda.
"Di pihak kami ingin merakamkan penghargaan melalui usaha anda
dalam mewujudkan media yang benar-benar bebas. Kami sedar bahawa ramai di antara anda bekerja di bawah keadaan yang amat sukar dan masih tabah.
"Apa yang lebih membanggakan ialah semakin ramai wartawan muda menjadi lebih matang dalam menjiwai laporan mereka...
"Oleh itu, Malaysiakini juga telah menjadi satu platform yang sangat diperlukan untuk melahirkan wartawan yang berkualiti tinggi di Malaysia, sekaligus mendukung integriti kewartawanan di negara ini."
Ketika jarum jam menunjukkan tepat 00:00 pada hari Tahun Baru, seorang doktor dari sebuah kawasa terpencil di Malaysia memutuskan untuk memulakan urusan pertama banknya bagi tahun baru dengan memindahkan RM1,000 untuk membeli seketul bata. Saya begitu terharu dan tiada perkataan yang dapat menceritakannya.
Lima belas hari selepas tahun baru dan kami telah dikejutkan dengan tambahan kutipan sebanyak RM100,000 lagi daripada orang ramai. Kami benar-benar berterima kasih untuk setiap sen yang kami terima dan kami tidak akan berputus asa untuk mencapai sasaran kami sebanyak RM3 juta.
Kami amat bertuah mempunyai seorang pereka dalaman, Ambrose Poh, dan pengukir bata, Ashley John. Kedua-dua datang kepada kami tanpa dijemput. Dan kedua-dua mereka juga adalah peminat setia Malaysiakini.
Ambrose telah bekerjasama dengan kami semenjak enam bulan yang lalu. Beliau telah menghabiskan banyak masa dengan warga Malaysiakini dan cuba untuk mencipta ruang yang terbaik bagi menampung pelbagai personaliti serta personaliti organisasi itu sendiri.
Ashley John benar-benar seorang yang hebat. Kami memintanya mengukir bata dalam waktu yang singkat dan beliau tidak pernah sekali pun mengecewakan kami. Setiap minggu, beliau dan pekerjanya akan menghantar ke pejabat kami bata-bata yang telah dibungkus teliti dengan plastik.
Demi Kebaikan
Saya hanya pernah menganjurkan dua majlis hari jadi, salah satu daripada gagal. Dan menjadi sesak nafas apabila ditugaskan untuk mengurus projek mengumpul dana/bangunan ini.
Namun, saya akan terhutang budi untuk selama-lamanya kepada pengasas Malaysiakini, Premesh Chandran dan Steven Gan kerana meletakkan kepercayaan kepada saya.
Mereka menyerahkan tugas yang begitu penting kepada seorang yang tidak mempunyai kelayakan atau pengalaman dalam bidang tersebut tetapi dengan hanya bergantung dengan hakikat bahawa saya sendiri menyayangi Malaysiakini dengan sepenuh hati dan mahukan yang terbaik demi rakan-rakan saya yang mendapat tempat di hati saya sejak sekian lama.
Bagi tugasan pengumpulan dana ini, bos dan rakan-rakan saya begitui banyak membantu. Dan setiap kali asya menghantar emel meminta bantuan, dan dalam masa tiga minit sahaja mereka akan menjawab.
Tempoh kempen dilanjutkan
Kami telah mengutip RM1.1 juta dalam tempoh 60 hari. Kami berterima kasih kepada setiap seorang daripada penyokong kami yang membantu kami menjayakan kempen ini. Apa yang kita telah kami kumpulkan itu lebih banyak daripada yang kita harapkan.
Pada mulanya, kami menetapkan sasaran mengumpul dana sebanyak RM3 juta sehingga hari ini - 15 Januari 2014. Walau bagaimanapun, ekoran masih banyak permintaan yang diterima, kami kami telah memutuskan untuk melanjutkan tempoh kempen ini sehingga 1,000 bata dijual.
Sehingga ini, sebanyak 624 bata telah dijual. Dengan 376 bata lagi, maka akan terdirilah sebuah 'dinding penghargaan' yang hebat di bangunan baru kami. Jadi, marilah kita bersama-sama merealisasikannya.
Dan kita bakal bertemu setiap orang di majlis meraikan bangunan baru apabila kita berpindah ke sana pada akhir tahun ini.
Untuk maklumat lanjut mengenai ' Beli Kempen bata ', klik di sini.
