Zunar jelajah Amerika bersyarah lukis kartun
Kartunis satira politik, Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar SM Ulhaque akan menjelajah Amerika untuk menyampaikan syarahan serta mengadakan kelas melukis kartun.
Dalam kenyataannya hari ini, Zunar mengumumkan jelajah dinamakan "Berjuang Melalui Kartun" itu akan bermula pada 22 Januari sehingga 1 Februari akan datang.
Menurut Zunar, sebahagian daripada jelajah itu akan menyaksikan beliau mengendalikan kelas melukis kartun untuk mahasiswa jurusan seni dan media University of Louisville, Kentucky.
Kemuncaknya, beliau akan menyampaikan ucap utama sempena "Syarahan Tahunan mengenai Demokrasi Asia" pada 22 Januari, jam 7 petang di universiti yang sama.
"Saya akan dedahkan cabaran yang dihadapi saya sebagai kartunis politik di negara penindasan seperti di Malaysia.
"Mereka akan diberitahu mengenai penahanan saya di bawah Akta Hasutan, pengharaman buku-buku komik saya, dan tekanan ke atas pencetak dan pekedai.
"Saya juga akan menyentuh mengenai isu-isu penting seperti kekangan terhadap hak asasi di Malaysia, begitu juga isu-isu penting seperti pembunuhan Altantuya, skandal Scorpene, konspirasi terhadap (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, isu rasuah dan kontroversi isu nama Allah," kata Zunar.

