Pemuda MCA menggesa semua Ahli Parlimen sebulat suara menyokong cadangan pindaan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang dijadual dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat, Mac ini.

    

Ketuanya Chong Sin Woon berkata wakil kerajaan dan pembangkang perlu mengetepikan kepentingan politik masing-masing dengan menyokong pindaan Akta SPRM 2009 bagi memantapkan pembanterasan gelaja rasuah di negara ini.

    

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan sesi dialog dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed, di ibu pejabat SPRM di Putrajaya semalam.

    

Chong juga berkata Abu Kassim memaklumkan kepada beliau bahawa SPRM akan melantik lebih ramai pegawai SPRM dalam kalangan kaum Cina.

    

Pada 3 Disember tahun lepas, Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) Tan Sri Abu Zahar Ujang mengumumkan bahawa penambahbaikan akan dilakukan terhadap Akta SPRM 2009 dengan pindaan pada Seksyen 23 dan Seksyen 36.

    

Menurutnya, pindaan terhadap Seksyen 23 adalah untuk memastikan anggota pentadbiran dan penjawat awam di peringkat nasional dan negeri tidak memanipulasi sebarang kelemahan yang terdapat dalam peruntukan undang-undang terutama melibatkan pemberian  tender,kontrak, tanah dan projek kerajaan.

Pindaan Seksyen 36 pula bertujuan membolehkan SPRM terus menyiasat pemilikan dan harta seseorang yang disyaki terlibat dengan rasuah tanpa perlu ada siasatan awal sebagaimana peruntukan undang-undang di Hong Kong.

    

Menurut Abu Zahar pindaan itu memerlukan sokongan Ahli Parlimen pembangkang yang mempunyai 89 kerusi bagi mendapat sokongan dua pertiga.

- Bernama