Penceramah bebas popular, Mohammad Kazim Elias menyifatkan pengarang The Herald, Paderi Lawrence Andrew melanggar Perlembagaan Persekutuan apabila menggesa semua gereja Katolik Selangor agar terus menggunakan kalimah Allah, lapor Utusan Malaysia hari ini.

"Kita telah berlembut dan berdiplomasi terlalu lama terhadap mereka, kita tidak boleh begitu kerana perkara tersebut melibatkan kesucian umat Islam, kesucian Allah dan melibatkan Perlembagaan.

"Sepatutnya isu yang melibatkan keselamatan, agama dan ketenteraman awam, kerajaan tidak boleh berlengah dan beri ruang masa terlalu lama kerana akhirnya beri kesan tidak elok kepada negara," katanya dipetik laporan tersebut.

Sinar Harian pula melaporkan Kazim menggesa agar pemganut Kristian menggunakan perkataan 'god' atau 'yahweh' dan tidak sibuk-sibuk mahu menggunakan kalimah 'Allah' kerana ia khusus untuk orang Islam.

"Kalimah Allah ini tidak ada dalam kitab Bible mereka. Yang ada hanya perkataan 'god' atau 'yahweh' itu sahaja berbanding kalimah Allah yang hanya khusus untuk umat Islam.

"Kita kena ingat, selama ini mereka jarang menggunakan bahasa Melayu dalam upacara di gereja.

"Jadi kenapa yang sibuk-sibuk nak guna kalimah Allah sedangkan selama ini kekok untuk bahasa Melayu," katanya.

Beliau yang sering muncul berceramah di kaca TV pernah berceramah di pentas BN sewaktu pilihan raya kecil Sungai Limau.

Selesai pemilihan Umno yang lalu, beliau yang juga merupakan bekas ahli PAS ditawarkan keanggotaan dalam majlis tertinggi Umno.

Bagaimanapun, tawaran itu ditolak Kazim atas alasan beliau "tidak kemaruk kuasa" dan "mahu terbang bebas" berdakwah.