Keadilan, Aliran bimbang keselamatan tahanan ISA
versi terkini Keselamatan tahanan-tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak terjamin selagi ahli-ahli keluarga atau peguam mereka tidak dibenarkan melawat mereka, kata sebuah parti pembangkang dan juga badan bukan kerajaan.
"Sejarah penahanan ISA di masa lalu tidak menjamin para tahanan tidak akan menghadapi sebarang deraan mental dan fizikal sewaktu berada di dalam kurungan pihak berkuasa," kata Setiausaha Agung Parti Keadilan Nasional, Mohd Anuar Tahir.
"Inilah suatu kebimbangan dan kekhuatiran di kalangan ahli-ahli keluarga, sahabat handai dan rakyat Malaysia yang amat prihatin terhadap nasib 'orang tersayang' sewaktu ditahan tanpa bicara."
Aliran Kesedaran Negara (Aliran) juga meluahkan rasa kebimbangan yang sama, khususnya seperti yang terjadi kepada bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beberapa tahun lalu..
"Masih ingat lagi (apa yang terjadi kepada) Datuk Seri Anwar Ibrahim? Beliau telah diserang dengan teruk dan mengalami kecederaan parah tetapi tidak diberi rawatan segera," kata Aliran, dalam suratnya kepada media hari ini.
Anwar ditahan pada 20 September 1998 dan dibelasah dengan teruk oleh Ketua Polis Negara (waktu itu) Tan Sri Abdul Rahim Noor tetapi bekas pemimpin Umno itu didakwa "semuanya selamat."
Anwar kemudiannya memberitahu hakim bahawa beliau dipukul sehingga pengsan dan dinafikan menerima rawatan selama lima hari, apabila beliau dibawa untuk dituduh sembilan hari selepas itu.
"Patutkah kita menerima (begitu sahaja) jaminan polis berkaitan kebajikan (keselamatan) tahanan-tahanan itu," kata Aliran lagi.
Keadilan pula ragu-ragu sama ada polis membenarkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) melawat tahanan tersebut.
"Hingga ke saat ini masih belum ada tanda-tanda bahawa mereka (Suhakam) akan diberikan hak berkenaan," kata Anuar lagi.
Selasa lalu, Suhakam bercadang menghantar sekali lagi surat kepada polis bagi membenarkan badan itu melawat tahanan ISA sejak operasi tangkapan 10 April lalu.
Setakat ini, 10 pemimpin Pemuda Keadilan dan aktivis reformasi telah ditahan di bawah akta itu. Semalam, seorang aktivis badan hak asasi, Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Badaruddin Ismail ditahan di Hulu Kelang, Selangor ketika beliau sedang bersarapan kira-kira jam 9 pagi.
Aliran kecam polis
Mereka yang ditahan sebelum ini adalah Naib Presiden Keadilan Tian Chua, Ketua Pemudanya Mohamad Ezam Mohd Nor, Setiausaha Pemuda N Gobalakrishnan, aktivis-aktivis pergerakan itu Dr Badrul Amin Baharom, Lokman Noor Adam dan Abdul Ghani Haroon; pengerusi jawatankuasa penganjur perhimpunan 'Black 14' Saari Sungib, penulis kolum malaysiakini Hishamuddin Rais dan pengendali laman web FAC (Kempen Bebaskan Anwar) Raja Petra Raja Kamaruddin.
Polis setakat ini tidak pernah menjawab surat Suhakam untuk tujuan itu walau telah dihantar pada 13 April lalu. Kelambatan ini menyebabkan seorang pesuruhjayanya Tan Sri Anuar Zainal Abidin merungut hal itu kepada media Jumaat lalu.
"Kami akan mengingatkan polis lagi. Surat ini bukan permohonan, tetapi untuk memaklumkan bahawa kita akan pergi melawat," kata Anuar.
Menurutnya, seksyen 4 (2) (d) akta Suhakam, suruhanjaya itu dibenarkan "melawat tempat-tempat tahanan menurut tatacara yang telah ditetapkan oleh undang-undang berhubung tempat tersebut dan membuat saranan-saranan yang wajar."
Aliran pula mengecam sikap polis tidak memberikan keizinan melawat kepada Suhakam.
"Sebarang kelambatan membenarkan pesuruhjaya Suhakam melawat tahanan-tahanan itu adalah tindakan menghina parlimen," kata pertubuhan itu.
"Parlimen sendiri tidak seharusnya bertolak-ansur dengan perangai kurang ajar polis yang tidak bertindak terhadap permohonan Suhakam itu dan tidak mempedulikan langsung kuasa yang ada pada badan itu seperti diberikan oleh parlimen."
Sikap polis itu, kata Aliran lagi, menimbulkan keraguan yang serius tentang keselamatan dan kesejahteraan para tahanan ISA itu.
Sementara itu lebih 9,400 orang telah menurunkan tandatangan kepada satu petisyen bagi melahirkan keprihatian terhadap keselamatan 10 tahanan itu. Rayuan itu dianjurkan sebuah badan hak asasi terkenal Amnesty International yang telah diedarkan dalam talian (online petition) di alamat [#1] www.stoptorture.org [/#]
"Ahli-ahli organisasi ini akan terus menulis kepada pihak-pihak berwajib Malaysia bagi mendesak agar semua tahanan dibebaskan dan ISA harus dimansuhkan atau dipinda," kata pertubuhan yang berpangkalan di London hari ini.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.