Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Puluhan ribu penganut Hindu membanjiri kawasan Batu Caves yang menempatkan Kuil Sri Subramaniyar bagi menyatakan kesyukuran, melaksanakan nazar atau menebus dosa masing-masing sempena sambutan Thaipusam hari ini.

    

Sejak awal pagi, mereka memenuhi segenap ruang di Batu Caves yang memperlihat suasana sambutan yang sederhana namun meriah.

    

Sambutan unik yang penuh warna warni itu juga menarik ramai pelancong asing yang mahu menyaksikan ritual agama Hindu itu.

    

Thaipusam ialah perayaan yang disambut penganut Hindu di seluruh dunia bagi menghormati Dewa Murugan yang juga dikenali sebagai Dewa Subramaniam.

    

Thaipusam dirayakan pada bulan 'Thai', iaitu bulan ke-10 dalam kalendar Tamil.

    

Ramai penganut Hindu dilihat menjunjung belanga tembikar dan aluminium mengandungi susu, yang dianggap paling suci, dengan menaiki ratusan anak tangga menuju ke kuil itu untuk melaksanakan nazar masing-masing.

    

Mereka juga melaksanakan nazar dengan berjalan kaki bermula dari Jalan Petaling atau Jalan Kuching sehingga ke Batu Caves sebelum membotakkan kepala.

Bagi yang memohon supaya dosa diampunkan, mereka akan membawa atau menjunjung kavadi, yang dihiaskan dalam pelbagai bentuk, di atas bahu atau di atas kepala.

Thaipusam turut disenaraikan dalam kalendar pelancongan negara dan Tahun Melawat Malaysia 2014, yang membuka tirainya awal bulan ini, mampu menarik kehadiran pelancong tempatan dan asing ke lokasi perayaan ini.

Berikutan puluhan ribu orang berada di kawasan Batu Caves, sebanyak 1,000 anggota polis ditugaskan mengawal keselamatan orang ramai sejak Selasa lepas.

    

Pihak berkuasa turut menutup jalan dari Kuil Sri Mahamariamman di Jalan Tun H.S.Lee bagi melancarkan perarakan perarakan arca Dewa Murugan dan dua isterinya Dewi Valli serta Devi Theivanai di atas pedati perak ke Kuil Sri Subramaniyar, Batu Caves, dari 10 malam hingga 4 pagi tadi.

    

Beberapa perkhidmatan pengangkutan awam turut ditambah dan waktu operasinya dilanjutkan termasuk Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dan RapidKL bagi memastikan pengunjung mudah ke lokasi sambutan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS