Pengurus besar BAM diminta bercuti
Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff menafikan khabar angin mengenai peletakan jawatan Kenny Goh sebagai pengurus besar BAM.
Sebaliknya, kata Tengku Mahaleel beliau telah meminta Kenny mengambil cuti buat masa ini memandangkan beliau telah menjalankan terlalu banyak tugas sejak dilantik ke jawatan itu pada 2007.
"Kenny telah menjalankan tugasnya dengan baik, saya suruh beliau bercuti kerana kita tidak boleh mendesak beliau menimbangkan semula keputusannya (untuk bersara). Beliau masih memegang jawatan itu buat ketika ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat majlis eksekutif BAM di Kuala Lumpur semalam.
Dalam perkembangan lain, Tengku Mahaleel berkata badan kawal selia badminton kebangsaan itu kini mengadakan kerjasama dengan Institut Sukan Negara (ISN) bagi menangani masalah kecederaan, yang berlaku agak berleluasa di kalangan pemain kebangsaan akhir-akhir ini.
Beliau berkata semasa mesyuarat dengan wakil-wakil ISN baru-baru ini, ISN bersetuju membantu BAM mencari penyelesaian terhadap isu itu yang menjadi penghalang utama kepada pemain kebangsaan untuk menyertai sebarang pertandingan.
"ISN (pegawai perubatan) sedang mengkaji kekerapan kecederaan di kalangan pemain badminton, khususnya kecederaan lutut, yang bererti kita mungkin perlu mengubah kaedah latihan," kata beliau.
Tengku Mahaleel berkata BAM telah juga bersetuju untuk menghidupkan semula kejohanan badmintan antara kelab dan antara sekolah di seluruh negara dengan tujuan melahirkan pemain berpotensi, mulai tahun ini.
- Bernama

